Semasa bersiar-siar di blog rakan-rakan tadi, aku tertarik
dengan seorang penulis blog ini. Beliau menulis menggunakan bahasa Melayu penuh.
Beliau tidak menggunakan bahasa-bahasa rojak, mahupun bahasa pasar. Bertentangan
dengan kebanyakan anak muda Melayu sekarang ini (termasuk aku).
Apa yang membuatkan
aku lagi kagum ialah penggunaan bahasa Melayu beliau sangat tertib malahan huraian
isi kandungannya sangat telus. Dapat aku simpulkan juga walaupun beliau
bukanlah seorang Melayu tulen, tapi penghormatannya terhadap bahasa tersebut
sangat tinggi.
Ini membuatkan aku
terfikir untuk jadi seperti beliau, bukan meniru tapi ingin mencontohi beliau
dari segi penggunaan bahasa Melayu dengan
sebetulnya. Dalam catatan aku sebelum ini sebenarnya banyak penggunaan bahasa-bahasa
pasar. Jika hari demi hari aku masih dengan gaya penulisan seperti itu, maka
tidak mustahil lama-kelamaan aku tidak akan mampu untuk menzahirkan sesuatu dengan bahasa Melayu
dengan penuh tertib.
Walaupun menulis catatan di blog dengan bahasa Melayu seperti yang anda tengah baca sekarang kedengaran
agak skema, tapi dapatkah anda selami betapa indahnya bahasa
ibunda kita. Menulis seperti ini juga aku rasa seperti mengarang karangan
semasa peperiksaan di sekolah dahulu. ~ Memang sekarang ini ada sedikit
perasaan janggal, tapi terasa bersopan santun pula dan menunjukkan kematangan.
Adakah dilihat begitu? [hehe]
Aku masih dalam proses percubaan. Walaupun usaha ini nampak kecil, impaknya akan besar suatu hari
nanti. Percayalah.
Semoga istiqamah hendaknya.
Berbalik kepada penulis blog tadi, jika ada tertanya-tanya siapakah
beliau? Mungkin boleh terjah ke Travelog Hort untuk berkenalan dengan lebih lanjut.