Friday, May 25, 2012

Perbahasan Hukum Hudud Antara Hilal Asyraf dan Tun Dr Mahathir


*Bagi pengguna Internet Explorer, maaf sebab coding scroll ni tak menjadik untuk IE.

Bila Mantan Perdana Menteri Berbicara Berkenaan Hudud -Hilal Asyraf-

Assalamu’alaikum Wa Rahmatullahi Wa Barokatuh.

Alhamdulillah, pada hari ini saya telah menulis status berkenaan mantan perdana menteri yang kita kasihi, apabila dia berkata berkenaan Hukum Hudud adalah rekaan Ahli Fiqah, dan bukannya datang daripada Al-Quran.

Apa yang suka saya ketengahkan di dalam isu ini adalah kenyataannya – Hudud adalah rekaan Ahli Fiqah. Tiada daripada Al-Quran.

Maka, saya rasa sangat kelakar, untuk seorang mantan perdana menteri yang memerintah sebuah negara ‘Islam’ untuk jangka masa lebih dua dekad, bahkan masih hidup hingga ke hari ini, untuk mengeluarkan kenyataan sedemikian rupa.

Kita ketepikan dahulu persoalan ‘Bagaimana Sepatutnya Hudud Dilaksanakan’. Sebab nampaknya, persoalan ‘Apakah Hudud Itu Daripada Allah’ pun tidak diketahui rupanya.

Tiada Di Dalam Al-Quran? Tiada Di Dalam Hadith? Rekaan?
Saya hanya seorang pelajar Usuluddin, tahun akhir, di University of Yarmouk, Irbid, Jordan. Saya tidak mendalami syariah(peraturan) Islam sebagaimana pelajar Fiqh. Saya hanya ‘budak Usul’, atau ‘budak akar’ di dalam bidang agama ini. Justeru, saya belajar akan Aqidah, Tafsir Al-Quran, dan Hadith.

Sebab itu, saya mahu bahaskan tentang “Apakah benar Hukum Hudud itu rekaan ulama’ Fiqah?”. Saya tidak layak untuk membahaskan “Bagaimana Melaksanakan Hukum Hudud.” Semestinya, saya serahkan yang itu kepada yang lebih arif. KERANA SAYA TIDAK TAHU. Saya ulang, kerana saya tidak tahu. Apa yang saya tidak tahu, saya tak akan pandai-pandai sentuh.

Maka, di sini buktinya bahawa Hukum Hudud itu wujud di dalam Al-Quran dan Hadith, bukannya rekaan Ulama’.

Ini hukum mencuri:

“Dan orang lelaki yang mencuri dan orang perempuan yang mencuri maka (hukumnya) potonglah tangan mereka sebagai satu balasan dengan sebab apa yang mereka telah usahakan, (juga sebagai) suatu hukuman pencegah dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.” Surah Al-Maidah ayat 38. Ini dalil hukum hudud untuk mencuri. Jelas, ini adalah Al-Quran.

Diriwayatkan pula di dalam Sohih Bukhari Hadith no 1516 Jilid 3:

Dari Aisyah r.a., Orang Quraisy merasa tidak senang akan hukuman yang dijatuhkan kepada seorang perempuan suku Makhzum mencuri. Mereka berkata: “Siapakah yang boleh menyampaikan kepada Rasulullah s.a.w. supaya perempuan itu dibebaskan saja?” Kata mereka: “Siapakah yang berani selain Usamah bin Zaid, kesayangan Rasulullah s.a.w.!” Usamah lalu menyampaikannya kepada beliau. Rasulullah s.a.w. bersabda: “Mengapa engkau memberikan pertolongan untuk membebaskan seseorang dari had (hukum) Allah?” Kemudian beliau berdiri lalu berpidato, sebagai berikut: “Orang-orang yang sebelum kamu dibinasakan, kerana kalau orang yang terhormat (mulia) mencuri, mereka biarkan saja. Tetapi kalau yang mencuri itu orang lemah, mereka jatuhi hukuman. Demi Tuhan! Kalau sekiranya Fatimah binti Muhammad mencuri, saya potong juga tangannya!”

Kemudian hukum zina pula:

“Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina, hendaklah kamu sebat tiap-tiap seorang dari keduanya seratus kali sebat; dan janganlah kamu dipengaruhi oleh perasaan belas kasihan terhadap keduanya dalam menjalankan hukum ugama Allah, jika benar kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat; dan hendaklah disaksikan hukuman seksa yang dikenakan kepada mereka itu oleh sekumpulan dari orang-orang yang beriman.” Surah An-Nur ayat 2.

Hukum Rejam untuk penzina yang telah berkahwin:
“Dari Jabir bin Abdullah Al-Ansar RA, bahawa seorang lelaki dari Aslam datang kepada Rasulullah SAW dan menyatakan bahawa dia telah berzina. Pengakuan ini diucapkannya empat kali. Lalu Rasulullah SAW menyuruh supaya orang itu direjam. Sesungguhnya dia telah berkahwin.” Hadith Riwayat Bukhari di dalam Sohihnya, no 1817, Jilid 4, Bab Zina.

Jelas, sekali lagi, hukum ini daripada Al-Quran dan Hadith.

Kemudian hukum murtad pula:
“Sesiapa yang menukar agamanya, maka bunuhlah dia.” Hadith Riwayat Bukhari di dalam Sohihnya, Hadith no 6922. Jelas, ini adalah hadith yang sohih.

Kemudian hukum Qazaf(menuduh orang lain berzina):“Dan orang-orang yang melemparkan tuduhan (zina) kepada perempuan yang terpelihara kehormatannya, kemudian mereka tidak membawakan empat orang saksi, maka sebatlah mereka delapan puluh kali sebat; dan janganlah kamu menerima persaksian mereka itu selama-lamanya; kerana mereka adalah orang-orang yang fasik” Surah An-Nur ayat 4.

Sekali lagi, jelas, ini adalah daripada Al-Quran. Daripada Hadith yang Sohih.
Justeru, amatlah dangkal untuk seseorang itu sebenarnya menyatakan Hukum Hudud Adalah Rekaan Ahli Fiqah dan bukannya daripada Al-Quran.

Hukum Hudud Tidak Adil. Merugikan Orang Islam.
Dinyatakan juga oleh Mantan Perdana Menteri tersebut bahawa, Hukum Hudud ini tidak adil. Dia berulang kali menyebut bahawa Islam menekankan keadilan. Kononnya Al-Quran sendiri menyatakan akan keadilan. Hukum dengan adil. Seakan-akan, melaksanakan hudud bukan satu keadilan, bahkan merugikan orang Islam.

Katanya, kalau orang Islam kena potong tangan, dan orang bukan Islam tak kena potong tangan, bukankah itu tidak adil dan merugikan?

Sebenarnya, dari segi perlaksanaan Hukum Hudud, perlaksanaannya adalah sangat ketat. Bukan semua kecurian dihukum dengan hukuman potong tangan. Perkara ini, pelajar yang mendalami Fiqah lebih arif.
Dan sebenarnya, amatlah saya terkilan dengan kenyataan Mantan Perdana Menteri kita itu. Kerana, seakan-akan, bangsa Melayu, orang islam ini kaki mencuri pula. Bukankah kita adalah bangsa yang disematkan adab dan sopan, dan mencuri bukanlah perkara kebiasaan di dalam adat kita sendiri(atau sebenarnya iya?). Maka mengapa perlu takut sebenarnya akan hukum ini? Ramai orang Islam akan ketiadaan tangan? Pada saya itu alasan yang sangat dangkal.

Dr Asri Zainal Abidin adalah antara ulama’ yang saya suka penjelasannya akan perlaksanaan hudud. Boleh rujuk kepada video-video beliau. Saya second apa-apa sahaja fatwa beliau berkenaan hudud.

Setakat ilmu saya, perlaksanaan hududlah yang paling adil sekali dalam peraturan dunia. Semestinya kerana Allah SWT yang memberikan hukum ini kepada kita adalah Yang Maha Adil. Kerana itu hukumNya juga adalah adil. Bahkan, pada hemat saya, dengan melaksanakan hukum ini, Ummat Islam akan menjadi Ummat yang paling layak dicontohi kerana disiplin dan ketelusan mereka. Yang menjadikan kita takut dengan Hudud ini adalah daripada penerangan yang salah, dan dimomokkan pula dengan perlaksanaannya yang dikatakan barbarik, ganas, tidak berperasaan.Tidak. Hakikatnya tidak.

Apa-apa hal pun, untuk lebih detail berkenaan BAGAIMANA HUKUM HUDUD ITU PERLU DILAKSANAKAN, saya serahkan kepada rakan-rakan saya dalam bidang syariah untuk menjelaskannya. Jelas, Dr Asri Zainal Abidin banyak membahaskannya.

Penutup: Saya Tidak Perlu Menjadi Pembangkang atau Perdana Menteri Untuk Memberikan Teguran Ini.

Saya tidak perlu menjadi Pembangkang untuk menegur Mantan Perdana Menteri ini sambil menjelaskan pula perkara ini di khalayak ramai. Pada saya, ulama’-ulama’ Kerajaan perlu bertegas memberikan penjelasan akan hal ini.

Saya juga tidak perlu menjadi Perdana Menteri, untuk membetulkan statement – Hukum Hudud adalah rekaan Ahli Fiqah dan bukan daripada Al-Quran.

Kalau semua orang perlu menjadi Perdana Menteri baru boleh tegur Perdana Menteri atau Mantan Perdana Menteri, maka dalam sejarah Malaysia ini tinggal 3 orang sahaja yang layak memberikan teguran.

Dan, memandangkan saya adalah pelajar Usuluddin yang mendalami Aqidah, suka saya menekankan satu perkara penting di sini: ”Menolak apa-apa sahaja daripada Al-Quran, hukumnya adalah kafir.” Sebenarnyalah.

“Oleh itu janganlah kamu takut kepada manusia tetapi hendaklah kamu takut kepadaKu (dengan menjaga diri dari melakukan maksiat dan patuh akan perintahKu); dan janganlah kamu menjual (membelakangkan) ayat-ayatKu dengan harga yang sedikit (kerana mendapat rasuah, pangkat dan lain-lain keuntungan dunia); dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah (kerana mengingkarinya), maka mereka itulah orang-orang kafir. “ Surah Al-Maidah ayat 44.

“Dan kami telah tetapkan atas mereka di dalam kitab Taurat itu, bahawa jiwa dibalas dengan jiwa, dan mata dibalas dengan mata, dan hidung dibalas dengan hidung, dan telinga dibalas dengan telinga, dan gigi dibalas dengan gigi, dan luka-luka hendaklah dibalas (seimbang). Tetapi sesiapa yang melepaskan hak membalasnya, maka menjadilah ia penebus dosa baginya; dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan Allah, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.” Surah Al-Maidah ayat 45.

“Dan hendaklah engkau menjalankan hukum di antara mereka dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah dan janganlah engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka, dan berjaga-jagalah supaya mereka tidak memesongkanmu dari sesuatu hukum yang telah diturunkan oleh Allah kepadamu. Kemudian jika mereka berpaling (enggan menerima hukum Allah itu), maka ketahuilah, hanyasanya Allah mahu menyeksa mereka dengan sebab setengah dari dosa-dosa mereka; dan sesungguhnya kebanyakan dari umat manusia itu adalah orang-orang yang fasik.” Surah Al-Maidah ayat 49.

Saya dididik oleh guru Aqidah saya, Dr Ala’ Hilat, untuk tidak menghukum orang lain kafir. Saya tidak sesekali menyatakan Mantan Perdana Menteri kita itu kafir. Tetapi saya mahu tegaskan bahawa, menolak apa-apa daripada Al-Quran, adalah kafir.Guru saya kata, jika kita nampak orang sujud kepada pokok, katakanlah mungkin dia tidak tahu. Kemudian perjelaskanlah.

Maka saya menganggap, Mantan Perdana Menteri saya, sepanjang 22 tahun dia memerintah dan sehingga kini dia hidup, tiada siapa menjelaskan hal ini kepadanya. Dia TIDAK TAHU.
Maka saya jelaskan di sini secara ringkas.
Saya juga ingin menegaskan bahawa, sekiranya kita bukan AHLI di dalam bidang agama, maka janganlah bicara sembarangan. Bertanyalah jika benar tidak mengetahui. Mintalah penjelasan. Apatah lagi sekiranya kita seorang public figure yang mempunyai ramai pengikut fanatik yang mengikut kita dengan membuta tuli, dan sanggup mempertahankan kita walau apa yang kita sebut itu salah.
Sampai di sini sahaja nota do’if saya.

sumber: Note Facebook Hilal Asyraf
https://www.facebook.com/note.php?note_id=2709373178954

Hukum Hudud -Tun Dr Mahathir-

1. Saya ucap berbanyak terima kasih kepada adik Hilal Asyraf (mungkin cucu lebih tepat kerana saya sudah mencecah 87 tahun Masehi – iaitu 90 tahun mengikut Hijrah) kerana membuat teguran terhadap ucapan saya di UNIMAS baru-baru ini.
2. Sebelum saya menjelaskan maksud saya di dalam ucapan itu, saya harap adik Asyraf dapat menjawab secara ringkas (Ya atau Tidak) beberapa soalan yang ingin saya tanya kepada adik.
3. Soalan :
  • i) Punca ajaran agama Islam ialah Al-Quran, Hadith, fatwa, ajaran ulama’-ulama’ dan guru-guru agama. Diantara punca-punca ini yang mana satukah yang diutamakan?
  • ii) Sekiranya terdapat perlanggaran atau percanggahan antara hadith, fatwa, pendapat ulama’ dan guru-guru agama dengan apa yang terdapat dalam Al-Quran, apakah kita harus tolak Al-Quran (terutama ayat-ayat yang jelas) dan terima hadith, fatwa dan lain-lain?
  • iii) Ada pihak yang mendakwa bahawa Al-Bukhari telah mengkaji sebanyak 600,000 hadith tetapi menerima hanya 7000 sebagai sahih.
  • iv) Apakah kesahihan hadith-hadith ini semuanya sama dengan sahih pengkaji hadith lain termasuk Muslim, Tarmizi dan lain-lain. Apakah kita harus tolak kajian-kajian lain dari Bukhari?
  • v) Apakah ingatan manusia lebih tepat dan kekal dari catitan, seperti wahyu dari Allah s.w.t. kepada Nabi Muhammad s.a.w. dicatit, kemudian dibukukan sebagai Al-Quran.
  • vi) Bukhari membuat kajian hadithnya 200 tahun selepas wafat Nabi. Apakah orang pertama yang melihat atau mendengar Nabi bersabda mencatat apa yang dilihat dan didengar dan catitan ini disimpan sehingga Bukhari mengkajinya? Atau apakah Bukhari bergantung kepada riwayat yang diperturunkan melalui beberapa generasi sehingga sampai kepada Al-Bukhari?
(Di sini jangan mula cap saya sebagai anti-hadith. Saya pegang kuat kepada hadith asalkan ia tidak berbeza, bercanggah dan menafi ayat-ayat Al-Quran. Saya sedar saya tak mungkin tahu bagaimana sembahyang jika saya pegang semata-mata kepada ayat-ayat dalam Al-Quran. Menuduh seseorang itu anti-hadith seperti menuduh seseorang itu kafir adalah cara mereka yang tidak dapat pertahan kefahaman dan pendapat mereka).
  • vii) Tuhan menjadikan manusia berbeza dengan haiwan kerana manusia diberi akal fikiran. Apakah agama Islam melarang manusia dari mengguna akal dan berfikir?

Saya menunggu jawapan daripada adik Hilal Asyraf supaya dapat saya betulkan diri saya.
sumber: Blog Tun Dr Mahathir http://chedet.cc/blog/?p=718
 
 Jawapan Hilal Asyraf kepada Tun Dr Mahathir Mohamad -Hilal Asyraf-

Ini adalah warkah jawapan saya kepada Tun Dr Mahathir yang menyuakan beberapa soalan kepada saya di dalam blognya pada link berikut: http://chedet.cc/blog/?p=718
Sukalah saya mendahulukan terima kasih saya, sebagai seorang rakyat biasa, kerana Tun Dr Mahathir sudi memberikan respon kepada nota saya. Yang nyatanya saya sangka, tidak sampai kepada Tun. Hal ini kerana ramai lagi orang lain memberikan respon kepada ucapan Tun berkenaan Hudud tersebut. Apa-apa hal pun, saya berbesar hati atas keterbukaan Tun ini, dengan izin Allah SWT.
Saya Muhammad Hilal Asyraf bin Abd Razak bin Kaprawi. Tahun ini berumur 23 tahun mengikut tahun masihi. Ya benar, saya taraf cucunda Tun, yang nyata usianya sudah menjengah 90 tahun dalam tahun hijrah. Saya merupakan pelajar tahun akhir di Universiy of Yarmouk, Jordan dalam pengkhususan Usuluddin. Jika tiada aral melintang, saya akan menamatkan pengajian saya di semester ini. Saya juga, mengasaskan website ini(LangitIlahi.Com), dan menulis beberapa buah buku.
Tun Dr Mahathir yang dikasihi kerana Allah,
Maafkan saya atas intro yang panjang. Kini saya pergi menjawab soalan-soalan yang dilontarkan oleh Tun di dalam blog Tun. Namun suka saya meminta maaf, jika saya tidak mampu menjawab seringkas yang dipinta. Tetapi saya berusaha keras untuk meringkaskan penulisan saya.
Soalan 1 – Punca ajaran agama Islam ialah Al-Quran, Hadith, fatwa, ajaran ulama’-ulama’ dan guru-guru agama. Diantara punca-punca ini yang mana satukah yang diutamakan?
Izinkan saya memperbaiki statement – “punca ajaran agama Islam ialah Al-Quran, Hadith, Fatwa, ajaran ulama’-ulama’ dan guru-guru agama.”
Sebenarnya, ‘punca’ ajaran agama Islam adalah Al-Quran dan Hadith sahaja. Selebihnya, seperti fatwa, ajaran ulama’ atau guru-guru, itu adalah perkara yang terbit dari kefahaman mereka terhadap Al-Quran dan Hadith.
Bila ditanyakan yang mana satukah yang patut diutamakan, maka saya jawab:
Al-Quran dan Hadith. Kedua-duanya diutamakan, pada taraf yang sama. Kerana kewujudan Hadith, yakni sunnah nabawiyah, adalah sebagai ‘penjelasan’ kepada ayat-ayat Al-Quran. Kerana itu Allah SWT berfirman:
“(Kami utuskan Rasul-rasul itu) membawa keterangan-keterangan yang jelas nyata (yang membuktikan kebenaran mereka) dan Kitab-kitab Suci (yang menjadi panduan); dan kami pula turunkan kepadamu (wahai Muhammad) Al-Quran yang memberi peringatan, supaya engkau menerangkan kepada umat manusia akan apa yang telah diturunkan kepada mereka, dan supaya mereka memikirkannya. (Setelah diterangkan yang demikian) maka adakah orang-orang yang merancang dan melakukan kejahatan-kejahatan itu merasa aman daripada ditimbuskan oleh Allah akan mereka ke dalam bumi, atau mereka didatangi azab dari arah yang mereka tidak menyedarinya?” Surah An-Nahl ayat 44-45.
Begitulah juga dinyatakan di dalam Surah An-Najm ayat 2-4. Surah Al-Hasyr ayat 7.
Dan berkenaan Al-Quran, nyata Allah SWT berfirman:
“Sesungguhnya Al-Quran ini memberi petunjuk ke jalan yang amat betul (ugama Islam), dan memberikan berita yang mengembirakan orang-orang yang beriman yang mengerjakan amal-amal soleh, bahawa mereka beroleh pahala yang besar. Dan bahawa orang-orang yang tidak beriman kepada hari akhirat, Kami sediakan bagi mereka azab seksa yang tidak terperi sakitnya.” Surah Al-isra’ ayat 9-10.
Juga wujud penegasan ini dalam banyak tempat yang lain di dalam Al-Quran, contohnya di dalam Surah Al-Baqarah ayat 1-2, An-Nisa’ ayat 174-175, Surah Al-Maidah ayat 15-16 dan lain-lain.
Tun Dr Mahathir yang saya harapkan berada dalam rahmat Allah,
Soalan 2 – Sekiranya terdapat perlanggaran atau percanggahan antara hadith, fatwa, pendapat ulama’ dan guru-guru agama dengan apa yang terdapat dalam Al-Quran, apakah kita harus tolak Al-Quran (terutama ayat-ayat yang jelas) dan terima hadith, fatwa dan lain-lain?
Berkenaan soalan ini, pertamanya izinkan saya jelaskan berkenaan percanggahan hadith dengan Al-Quran. Sesungguhnya Tun yang saya kasihi, apabila Allah SWT telah berfirman di dalam ayat-ayatNya di atas berkenaan Rasulullah SAW itu tindakannya adalah wahyu, maka tiadalah hadith yang sohih, bercanggahan dengan ayat-ayat Al-Quran.
Sekiranya kita menjumpai ta’arudh(perlanggaran, percanggahan) ini, di antara hadith sohih dengan ayat Al-Quran, maka hendaklah kita kaji semula apakah sebabnya. Dan biasanya, percanggahan itu bukanlah percanggahan. Tetapi antaranya disebabkan:
Silap dalam periwayatan hadith
Ayat Al-Quran itu sudah di’nasakh’(mansuh)kan hukumnya, tetapi tidak di’nasakh’(mansuh)kan bacaannya.
Atau Rasulullah SAW melakukan/membenarkan/melarang perkara tersebut, sebelum ayat Al-Quran turun melarang/membenarkan.
Begitu.
Jadi bila ditanya kepada saya, mana yang patut diutamakan, maka saya akan jawab:
Al-Quran dan hadith. Bersama-sama.
Kalau berlaku pencanggahan antara Al-Quran dan hadith, maka nyatakan hadithnya, dan nyatakan ayat Al-Quran yang mana, kemudian kita periksa mengikut ilmu asbabul nuzul(sebab-sebab turunnya ayat Al-Quran), dan periwayatan hadith.
Tun Dr Mahathir yang dikasihi kerana Allah,
Soalan 3 – Ada pihak yang mendakwa bahawa Al-Bukhari telah mengkaji sebanyak 600,000 hadith tetapi menerima hanya 7000 sebagai sahih.
Benar. Dan perlu diketahui bahawa Imam Al-Bukhari(Abu ‘Abdullah Muhammad bin Isma’il Al-Bukhariy) menamakan Kitab Sohih Bukhari itu dengan “Jami’ Musnad As-Sohih Al-Mukhtasar Min Umur Rasulillah SAW”. Al-Mukhtasar ini bermaksud “ringkasan”. Imam Al-Bukhari memasukkan sekitar 7,000 hadith ini ke dalam kitab tersebut kerana 7,000 hadith ini mencukupi pada pendapatnya, untuk manusia memahami bagaimana mahu berurusan dengan Islam sebagai cara hidup.
Dan Imam Al-Bukhari sendiri menyatakan: “Aku keluarkan untuk (isi)kitab ini daripada 600,000 hadith, dan aku jadikannya sebagai hujjah antara aku dan Allah SWT.”
Berkata Ibrahim ibn Mu’qol: “Aku mendengar Muhammad bin Ismail berkata: Tiadalah aku masukkan ke dalam kitabku As-Sohih ini melainkan yang sohih. Dan aku tinggalkan(tidak masukkan) banyak hadith sohih yang lain agar tidak menjadi panjang(kitab itu tidak menjadi terlalu tebal)”
Berkata Imam Al-Bukhari: “Tiadalah aku keluarkan(yakni meriwayatkan) di dalam kitab ini melainkan yang sohih, dan apa yang aku tinggalkan dari hadith sohih yang lain ada banyak.”
Kerana itu apabila Imam Al-Bukhari menamakan kitabnya “As-Sohih Al-Mukhtasar Min Umur Rasulillah SAW”, maka itu menjadi dalil bahawa dia berpendapat hadith-hadith tersebut sudah cukup bagi manusia mengamalkan dan memahami Islam yang sebenar. Tetapi tidaklah dia menutup peluang orang lain untuk meriwayatkan hadith sohih yang lain.
Ini saya dapati dari Kitab Al-Wadhih Fi Manahij Al-Muhaddithin karangan Dr Yaasir Asy-Syimaali.
Tun Dr Mahathir yang saya kasihi kerana Allah,
Soalan 4 - Apakah kesahihan hadith-hadith ini semuanya sama dengan sahih pengkaji hadith lain termasuk Muslim, Tarmizi dan lain-lain. Apakah kita harus tolak kajian-kajian lain dari Bukhari?
Kalau yang Tun maksudkan di sini adalah ‘sama taraf kesohihan’nya, maka itu bergantung kepada Al-Jarah Wa Ta’dil terhadap hadith tersebut. Menggunakan teknik Jarah Wa Ta’dil ini, maka periwayatan akan dikaji semula untuk melihat kesohihannya. Baik sohih dari segi sanad perawi, mahupun sohih dari segi matan(sebutan hadith) itu.
Tetapi kalau Tun mahu tanya fasal ‘Syarat Sohih Hadith’ yang dikenakan oleh perawi-perawi ini sebelum memasukkan ke dalam kitab mereka, maka telah diakui zaman berzaman bahawa syarat yang dikenakan oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim adalah paling ketat sekali.
Imam Bukhari mengenakan syarat-syarat berikut:
Memenuhi Syarat hadith Sohih yang disepakati Ulama’
  • Sanadnya bersambung.
  • Perawinya adil(soleh, bertaqwa, dipercayai)
  • Perawinya dobit(tidak nyanyuk, tidak lupa)
  • Tidak ada syaz(hadith yang diriwayatkan tidak bertentangan)
  • Tidak terdapat ‘illlah(yakni kecacatan/kesamaran yang menyebabkan hadith itu tidak diterima)
  • Subbut Al-Liqa’ (terbukti perawi itu telah bertemu dengan perawi sebelumnya)
  • Melihat tahap penguasaan murid di sisi syaikhnya(apakah murid yang bagus penguasaannya, atau tidak)
  • Hendaklah perawi itu masyhur sebagai yang tekun menuntut ilmu hadith.(maksudnya, perawi itu memang dikenali sebagai yang rajin menuntut hadith)

Manakala imam-imam yang lain, ada yang membenarkan hadith dho’if wujud di dalam kitabnya. Ini bukanlah hendak menyatakan Imam-imam tersebut kurang mulia atau kurang hebat daripada Imam Al-Bukhari dan Imam Muslim. Tetapi hendak menyatakan, tujuan penulisan kitab mereka adalah berbeza. 

Dan perlu diketahui bahawa ulama’-ulama’ yang memasukkan hadith-hadith sedemikian, mereka memasukkannya dengan amanah. Yakni menyatakan para perawinya agar boleh diperiksa orang terkemudian selepas mereka.
Dan untuk isu mana yang lebih patut diambil sebagai rujukan, setakat ini sememangnya ulama’-ulama’ telah menjadikan Imam Al-Bukhari dan Imam Muslim sebagai rujukan utama. Biasa akan dikatakan – “Perawi ini melepasi syarat asy-syaikhain”. Itu bermakna, perawi itu melepasi syarat yang dikenakan Bukhari dan Muslim.
Namun untuk mengambil hadith-hadith daripada Imam lain, tiada masalah selagi mana ianya memenuhi syarat hadith sohih.
Perkara ini Tun, dibahaskan dengan amat-amat detail dalam ilmu Jarah Wa Ta’dil(kritikan dan pujian) terhadap hadith-hadith, di dalam Kitab Ar-Rijal(kitab yang menceritakan perihal perawi-perawi, sejarah mereka, kedudukan mereka dalam dunia periwayatan hadith) dan sebagainya.
Tun Dr Mahathir yang saya kasihi kerana Allah,
Soalan 5 – Apakah ingatan manusia lebih tepat dan kekal dari catitan, seperti wahyu dari Allah s.w.t. kepada Nabi Muhammad s.a.w. dicatit, kemudian dibukukan sebagai Al-Quran.
“Lebih tepat” itu pada saya sangat subjektif. Sebab, tidak semestinya apa yang dicatit itu betul. Dan tak semestinya juga yang diingati itu lebih tepat dari apa yang tercatat.
Sebab itu Tun, dalam isu pengumpulan, pembukuan Al-Quran dan Hadith, adalah amat-amat-amat ketat saringannya.
Bukan semata-mata dia hafal, dia sebut, maka terus dimasukkan ke dalam catitan. Terus dibukukan. Bahkan, jika kita menelaah kitab-kitab Manahij Al-Muhaddithin(Sistem Para Perawi Hadith), kita akan menjumpai perkara seperti jarah wa ta’dil yang menilai sanad dan matan hadith, kitab Ar-Rijal yang menilai perawi-perawi hadith, syarat hadith sohih, dan sebagainya, yang jelas menunjukkan ini semua disaring penuh ketat dan teliti.
Kalau Tun nak kata ingatan manusia boleh terganggu dengan ‘lupa’ dan sebagainya, saya akan kata, sebab itu wujud sistem Jarah Wa Ta’dil, Kitab Ar-Rijal, Syarat-syarat hadith sohih, dan sebagainya, untuk memastikan apa yang disampaikan itu terjaga.
Sebentar lagi saya akan nyatakan bahawa hadith juga dicatit. Ada juga yang dihafal. Sama seperti Al-Quran. Ada yang tercatat di pelepah kurma, batu dan sebagainya. Ada juga yang tidak ditulis, tetapi dihafal. Namun sistem pengumpulan yang amat ketat itulah yang menjaga dari apa yang tidak sohih itu terlepas.
Tun Dr Mahathir yang saya kasihi kerana Allah SWT,
Soalan 6 – Bukhari membuat kajian hadithnya 200 tahun selepas wafat Nabi. Apakah orang pertama yang melihat atau mendengar Nabi bersabda mencatat apa yang dilihat dan didengar dan catitan ini disimpan sehingga Bukhari mengkajinya? Atau apakah Bukhari bergantung kepada riwayat yang diperturunkan melalui beberapa generasi sehingga sampai kepada Al-Bukhari?
Sebenarnya Tun, hadith itu ditulis dari zaman Rasulullah SAW lagi. Bukan semata-mata hafalan dan ingatan. Di zaman Rasulullah SAW, antara yang dikhaskan oleh Rasulullah SAW untuk menjadi pencatit hadith baginda adalah: ‘Abdullah ibn ‘Amru Radhiallahu’anhuma.
Dinamakan penulisan Hadith ‘Abdullah ibn ‘Amru ini sebagai Sohifah As-Soodiqoh.
Antara lain yang wujud adalah Sohifah ‘Ali bin Abi Talib Radhiallahu’anhu.
Dan wujud di dalam Sohih Bukhari dalam Kitabul ‘Ilm bahawa Rasulullah SAW pernah menyuruh agar ditulis pesanan dan ajaran baginda kepada seorang yang berasal dari Yaman.
Dan amat masyhur kita mengetahui bahawa baginda mempunyai penulis surat, dan dihantar surat itu kepada raja-raja di zaman baginda. Ini dinyatakan di dalam Kitab Jaami’ Bayan Al-‘Ilm karangan Ibn Abdul Barr.
Jadi jelas di zaman Rasulullah SAW, hadith-hadith baginda ditulis. Tanpa dinafikan, ada juga yang dihafal.
Kita mendalami ilmu hadith ini dengan memahami bahawa Al-Quran adalah wahyu daripada Allah SWT makna dan lafaz. Manakala hadith adalah maknanya daripada Allah, sedang lafaznya adalah lafaz Rasulullah SAW. Maka, ada sahaja yang meriwayatkannya berdasarkan makna sahaja. Itu pun, semua ini melalui jarah wa ta’dil yang kita nyatakan tadi.
Di zaman Sohabah(para sahabat) pula, wujud tulisan Zaid ibn Thabit RA yang mengumpulkan hadith-hadith berkenaan Fara’idh. Khotib Al-Baghdadi(Abu Bakr Ahmad ibn `Ali ibn Thabit ibn Ahmad ibn Mahdi) juga pernah meriwayatkan daripada Basyir ibn Nuhaik bahawa Basyir berkata: “Aku menulis untuk Abu Hurairah setiap hadith yang aku pelajari daripadanya. Kala aku hendak berpisah dengannya, maka aku membacakan apa yang aku tulis. Kemudian aku nyatakan bahawa ini semua adalah hadith yang aku ambil daripadanya. Abu Hurairah menjawab: Ya.” Khotib Al-Baghdadi, dalam kitabnya, Taqyid Al-Ilm.
Terdapat juga sohifah Jabir ibn Abdullah. Dan para sahabat yang hidup jelas memperturunkan hadith-hadith yang didapati daripada Rasulullah SAW kepada masyarakat di mana mereka hidup.
Dan ini semua tidak mati di situ sahaja. Di Zaman Tabi’in, wujud juga penulisan Hadith, bahkan jadi lebih meluas lagi kerana telah terbukanya banyak wilayah di tangan Islam. Ketika zaman inilah, Khalifah Abdul Aziz ibn Marwan(meninggal pada tahun 85H) mula menyeru agar dikumpulkan hadith secara rasmi. Kemudian usaha ini juga diteruskan oleh Khalifan Umar bin Abdul Aziz di zamannya.
Perkara ini dijelaskan secara detail di dalam kitab-kitab Manahij Al-Muhaddithin. Ini bukanlah maklumat yang boleh kita biarkan begitu sahaja, atau memandangnya dengan sebelah mata semata-mata.
Kemudian, apabila ingin membicarakan perihal Imam Al-Bukhari, bagaimana dia menuntut hadith, dia nyata adalah seorang yang mengembara. 16 tahun dia keluar mengembara bertemu dengan perawi-perawi untuk mengumpulkan hadith-hadith, dalam rangka mengumpulkan yang sohih. Dia bukannya duduk diam di dalam perpustakaan semata-mata, atau menunggu seseorang datang kepadanya menyampaikan buatnya hadith.
Dan sekali lagi saya nyatakan, Imam Al-Bukhari bukannya sekadar dengar, dan terus catit masukkan ke dalam Kitabnya. Dia menyaringnya pula. Ada pula hadith-hadith yang lebih kurang sama, diletakkan sebagai bukti bahawa makna yang dibawa oleh hadith-hadith itu sohih, saling sokong menyokong satu sama lain.
Bahkan, untuk tambah meyakinkan lagi, Imam Al-Bukhari telah memanggil para ulama’ di zamannya untuk menilai Kitab Jami’ Musnad As-Sohih miliknya itu. Antara ulama’ yang menilai adalah ‘Ali ibn Al-Madini, Ahmad ibn Hanbal, Yahya Ibn Mu’in dan lain-lain. Mereka memperkemaskannya lagi dan menjadi saksi bahawa apa yang dikumpulkan itu adalah sohih.
Dan bukanlah Imam Al-Bukhari itu terus mati selepas menyelesaikan kitabnya. Dia masih hidup. Didatangi para ulama’, dan keluar ke negeri demi negeri membawa kitabnya. Sekiranya wujud kesalahan dan kecacatan, semestinya kitabnya telah tertolak lebih awal kala kehidupannya.
Tun Dr Mahathir yang saya kasihi,
Soalan 7 – Tuhan menjadikan manusia berbeza dengan haiwan kerana manusia diberi akal fikiran. Apakah agama Islam melarang manusia dari mengguna akal dan berfikir?
Guru saya di dalam bidang Aqidah, bernama ‘Ala Hilat, pernah berkata bahawa Allah SWT menyediakan ayat musytabihat di dalam Al-Quran, sebagai tanda penghormatan Allah SWT kepada akal yang diciptakanNya buat manusia. Ayat musytabihat adalah ruang yang diberikan Allah SWT agar manusia berfikir, menjana pemikirannya sendiri.
Tetapi adalah perlu kita fahami bahawa, tiadalah pemikiran akan timbul sendiri tanpa bantuan. Dan tiadalah pemikiran akan menghala kepada arah yang betul sekiranya tidak mendapat panduan.
Kerana itu, Allah SWT menurunkan ayat-ayat Muhkamat. Yang qat’ie, jelas tidak boleh diubah dan diperbahaskan perlaksanaannya. Hal ini boleh dirujuk dalam Surah Ali Imran ayat 7.
Allah SWT juga beberapa kali menyebut ayat Al-Quran seperti:
“Apakah mereka tidak mendalami/memikirkan Al-Quran?” Surah Muhammad ayat 24. “Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.” Surah Rum ayat 21.
Maka tidaklah Islam melarang kita menggunakan akal kita. Tetapi perlulah kita letakkan akal kita atas landasan sebagaimana yang telah ditetapkan oleh Allah SWT di dalam kitabNya, sebagaimana yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah SAW daripada hadith yang sohih yang sampai kepada kita.
Jika Islam melarang kita menggunakan akal, maka tiadalah ulama’-ulama’ terdahulu terfikir untuk mengumpulkan Al-Quran dan mengumpulkan hadith. Tiadalah cendekiawan Islam membuat penemuan-penemuan yang menghidupkan ketamadunan dunia.
Tetapi perlulah pada kebebasan berfikir itu, wujud limitnya. Kerana pemikiran manusia itu terbatas.
Sebagaimana limit yang diletakkan kepada kita, agar tidak membicarakan akan dzat Allah SWT.
Diriwayatkan dari Abu Hurairah radhiyallaahu ‘anhu, dari Rasulullah SAW, beliau bersabda: “Sesungguhnya syaitan mendatangi salah seorang dari kamu, lalu berkata: Siapakah yang telah menciptakan ini ? Siapakah yang telah menciptakan itu ? Hingga syaitan berkata kepadanya: Siapakah yang menciptakan Rabbmu? Jika sudah sampai demikian, maka hendaklah ia berlindung kepada Allah dengan mengucapkan isti’adzah dan berhenti.” Hadith Riwayat Al-Bukhari dan Muslim.
Kerana jelas, makhluk jika mampu memikirkan bagaimana ‘bentuk’ Tuhannya, adalah satu kecacatan kepada Maha Besarnya Tuhan itu. Tidakkah Tun rasa demikian? Ini salah satu bentuk keterbatasan akal manusia. Tidak mampu menjengah kepada perkara-perkara ghaib. Maka Al-Quran dan hadith memandu. Islam benarkan kita terbang seperti layang-layang, tetapi mestilah bertali agar tidak jadi layang-layang yang lepas pergi begitu sahaja, Tun.
Maka begitulah saya melihat Islam mendidik kita berfikir, Tun.
Penutup: Inilah jawapan Saya, Tun Dr Mahathir, yang saya kasihi kerana Allah SWT.
Tun Dr Mahathir yang saya kasihi.
Pada hemat saya Tun, kalau saya diizinkan memberikan buah pandangan, saya kira lebih afdhol dari Tun memfokuskan soalan ini kepada saya, dan membukanya agar diperbincangkan ulama’ luar dan dalam negara. Saya cadangkan Tun menulis soalan-soalan ini di dalam bahasa Inggeris. Pastinya akan mendapat sambutan dan perhatian ulama’ international. Jika Tun mahu tahu, nama Tun masih disebut-sebut. Ada rakyat Jordan yang menyangka bahawa Tun masih Perdana Menteri kami.
Saya ini, ini sahajalah yang saya mampu beri. Mahu kata pakar, tidak sepakar mana. Saya pun tidak expect Tun akan tanya saya hal sebegini. Sedang ulama’-ulama’ yang lebih pakar, pastinya mungkin ada yang mampu memuaskan hati Tun.
Apa-apa hal pun Tun, inilah jawapan saya. Saya yakin, do’if dan kerdil, ditonton masyarakat Malaysia, kala berhadapan dengan Tun. Nyata, saya hanya cucunda Tun yang berumur 23 tahun, belum lagi menamatkan ijazahnya. Namun saya kekal dengan jawapan saya ini setakat ini. Saya percaya dengan ilmu yang saya perolehi ini, sebagaimana yang saya tulis.
Nota saya yang sebelum ini hanya berniat untuk menyatakan, bagaimana kelirunya masyarakat dengan kata-kata Tun tempoh hari. Saya, berdasarkan ilmu yang sedikit, yang ada pada saya ini, juga penjelasan saya tadi, jelas bahawasanya Hukum Hudud bukan satu ‘rekaan’ ulama’ Fiqah. Ianya memang datang daripada Al-Quran dan As-Sunnah. Bila Tun bicara berkenaan ‘hukum yang keras’ tiada di dalam Al-Quran, saya nyatakan adanya potong tangan di dalam Al-Quran. Berkenaan dengan rejam, wujud di dalam hadith sohih, namun kedudukan rejam ini saya menjumpai pelbagai pandangan. Sebat ada di dalam Al-Quran. Apa-apa hal pun, Tun kemudiannya bicara berkenaan bagaimana ruginya kita jika amal hudud, orang melayu Islam akan tak ada tangan dan sebagainya.
Tun minta tidak dicap sebagai anti-hadith, dan Tun jelas mengakui betapa hadith diperlukan untuk menjelaskan bagaimana untuk bersolat. Maka saya bawakan hadith sohih berkenaan potong tangan, yang jelas tiada diskriminasi. Hatta anak kepada Nabi pun, jika mencuri dan sampai hadnya, maka akan dikenakan hukumannya.
Dari Aisyah r.a., Orang Quraisy merasa tidak senang akan hukuman yang dijatuhkan kepada seorang perempuan suku Makhzum mencuri. Mereka berkata: “Siapakah yang boleh menyampaikan kepada Rasulullah s.a.w. supaya perempuan itu dibebaskan saja?” Kata mereka: “Siapakah yang berani selain Usamah bin Zaid, kesayangan Rasulullah s.a.w.!” Usamah lalu menyampaikannya kepada beliau. 

Rasulullah s.a.w. bersabda: “Mengapa engkau memberikan pertolongan untuk membebaskan seseorang dari had (hukum) Allah?” Kemudian beliau berdiri lalu berpidato, sebagai berikut: “Orang-orang yang sebelum kamu dibinasakan, kerana kalau orang yang terhormat (mulia) mencuri, mereka biarkan saja. Tetapi kalau yang mencuri itu orang lemah, mereka jatuhi hukuman. Demi Tuhan! Kalau sekiranya Fatimah binti Muhammad mencuri, saya potong juga tangannya!” Hadith Riwayat Bukhari.
Inilah penjelasan kepada ayat berkenaan potong tangan yang wujud di dalam Al-Quran pada ayat 38 Surah Al-Maidah. Saya sudah nyatakan di dalam nota saya, saya ‘tidak arif berkenaan bagaimana hudud itu perlu dilaksanakan.’ Tetapi saya amat pasti bahawa, hudud bukan semata-mata rekaan ulama’ fiqah.
Sekiranya orang menyatakan nota saya adalah satu bentuk salah faham kepada bicara Tun, maka semestinya Tun perlu memberikan penjelasan. Sebab apa yang saya nampak, kenyataan Tun tempoh hari mengundang salah faham yang nyata besar. Kerana nyata, Tun diikuti ramai orang. Suara saya, hanya pasir di tengah suara rakyat yang lain. Dan adalah menjadi kegembiraan saya, apabila Tun memberikan respon. Walaupun saya kira, respon Tun sepatutnya berbentuk umum, kerana ada lagi beberapa orang menulis kritikan yang sama, bahkan ada yang lebih keras, kepada Tun.
Jadi, setakat ini sahajalah daripada saya. Terima kasih kerana sudi menyantuni penulisan saya, membaca nota saya yang terdahulu. Sebarang kesilapan, saya minta maaf. Sebarang kecacatan bahasa dalam penulisan saya, mungkin ada yang dianggap kasar, maka saya minta maaf.
Di kesempatan ini, saya sampaikan salam dua sheikh saya, pakar ilmu hadith daripada Yarmouk, bernama Dr Mehmed Thowalbeh dan Dr Sa’id Bawa’anah. Mereka kata, jika Tun ingin bertanya lebih banyak, mereka sedia membantu. Mereka juga mencadangkan sebuah buku untuk ditelaah Tun, bertajuk: Manahij Al-Muhaddithin karangan Ali Qudhoh.
Jika Tun sudi, sampaikan salam saya kepada ‘nenda’ Tun Dr Siti Hasmah. Dan doakan agar saya selamat melayari bahtera perkahwinan, tarikhnya sekitar sebelum Ramadhan tahun ini.
Sekali lagi, terima kasih, dan minta maaf, daripada saya, Hilal Asyraf, ‘cucunda’ Tun yang masih banyak perlu belajar lagi, semestinya.
Semoga Allah redha, dan membuahkan dari penulisan ini manfaat. Bukan sahaja untuk kita berdua, tetapi juga buat masyarakat.
Sekian.
sumber: Blog Hilal Asyraf http://langitilahi.com/7734

 Jawapan Kepada Hilal Asyraf -Tun Dr Mahathir-

1. Saya ucap terima kasih kepada Hilal Asyraf kerana menjawab dengan panjang lebar soalan-soalan saya.

2. Sebenarnya saya membuat soalan-soalan kerana ingin mendapat pengesahan berkenaan reaksi terhadap apa yang telah diucapkan oleh saya berkenaan hudud.

3. Jawapan Hilal mengesahkan apa yang saya syaki, iaitu Hilal dan mungkin ramai orang Islam lain berpendapat bahawa wahyu Allah s.w.t. seperti yang terdapat dalam Al-Quran adalah setaraf dengan Hadith sohih Bukhari, iaitu kesahihan yang dibuat oleh manusia biasa walaupun pakar dalam bidang Hadith.

4. Lebih teruk lagi ialah pendapat bahawa ada ayat Al-Quran yang sudah dimansuh tetapi masih boleh dibaca iaitu baca tanpa terima.

5. Tidak pula disebut ayat yang mana yang telah dimansuh. Apakah yang dimansuh ini ialah ayat yang bertentangan dengan Hadith yang dikatakan sohih?

6. Berkenaan dengan Surah An-Nur, Ayat 2, (ayat yang terang dan jelas iaitu ayat Mukhamat) dan saya perturunkannya disini; “Perempuan dan lelaki yang berzina, hendaklah kamu sebat tiap-tiap seorang dari keduanya seratus kali sebat; dan janganlah kamu dipengaruhi oleh perasaan belas kasihan terhadap keduanya dalam menjalankan hukum agama Allah, jika benar kamu beriman kepada Allah dan hari Akhirat dan hendaklah disaksikan hukuman seksa yang dikenakan kepada mereka itu oleh sekumpulan orang-orang yang beriman.”

7. Bandingkan “hukum sebat seratus kali” dengan “orang itu direjam” dalam Hadith sohih riwayat Bukhari (Dari Jabir bin Abdullah Al Ansar RA).

8. Bolehkah disamakan hukum sebat dan hukum rejam (iaitu hukum bunuh)? Siapa pun yang berfikiran waras akan berkata hukum-hukum ini amat berbeza. Justeru itu dakwaan Hilal seperti berikut, “Jelas, sekali lagi, hukum ini daripada Al-Quran dan Hadith”, memberi gambaran seolah-olah hukum dalam Al-Quran iaitu “sebat” adalah sama dengan hukum rejam dalam Hadith.” Pemikiran yang waras tidak mungkin mengaku yang sebat dengan bunuh adalah sama.

9. Memanglah Bukhari membuat kajian mendalam mengikut syarat-syarat yang Bukhari sendiri mengenakan kepada dirinya. Memang pun Hadith sohih Bukhari yang tidak bertentangan dengan ayat Al-Quran boleh diterima sebagai sohih.

10. Yang menimbul masalah ialah apabila sohih Bukhari tidak sama dengan wahyu Allah s.w.t. dalam Al-Quran – umpamanya Surah An-Nur, Ayat 2.

11. Hanya dengan berkata tidak ada percanggahan antara Hadith yang sohih dengan ayat-ayat Al-Quran bermakna menafi kenyataan. Percanggahan memang ada seperti yang disebut diatas.

12. Jawapan, “Sekiranya kita menjumpai ta’arudh (perlanggaran, percanggahan) ini, di antara Hadith yang sohih dengan ayat Al-Quran, maka hendaklah kita kaji semula apakah sebabnya. Dan biasanya, percanggahan itu bukanlah percanggahan, tetapi diantaranya disebabkan (mengikut surat kedua Hilal):

(a) “Silap dalam periwayatan Hadith”

(b) “Ayat Al-Quran itu sudah dinasakh (mansuh) hukumnya, tetapi tidak dinasakh (mansuh) bacaannya”

(c) “Atau Rasulullah s.a.w. melakukan/membenarkan/melarang perkara tersebut, sebelum ayat Al-Quran turun melarang/membenarkan”

Mengikut pendapat ini “silap periwayatan Hadith” lebih mudah diterima kerana daripada 600,000 hadith kebanyakannya lemah dan tidak sohih, daripada mendakwa “ayat Al-Quran itu sudah dimansuh” sesuatu yang amat bercanggah dengan penerimaan oleh orang Islam bahawa Al-Quran itu mengumpul semua wahyu Allah s.w.t. yang disampaikan kepada Rasulnya, Muhammad s.a.w. untuk umat manusia.

13. Hilal sendiri mencatit, “Menolak apa-apa sahaja daripada Al-Quran hukumnya adalah kafir”. Surah Al-Maidah, Ayat 44 berbunyi “Oleh itu janganlah kamu takut kepada manusia tetapi hendaklah kamu takut kepadaKu, dan janganlah kamu menjual ayat-ayatKu dengan harga sedikit, dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah maka mereka itulah orang-orang kafir. Tidak pula disebut di mana-mana “tidak menghukum mengikut Hadith adalah kafir.”

14. Memansuhkan ayat Al-Quran samalah dengan menolak ayat Al-Quran dan hukumannya juga tentulah kafir. Siapakah yang memansuhkan ayat Al-Quran dan ayat yang mana yang dimansuhkan? Tidak ada bukti yang Nabi yang memansuhkannya. Jika sebelum diterima wahyu, Rasulullah s.a.w. melakukan/membenarkan/melarang perkara tersebut, apakah apabila kemudian Nabi Muhammad menerima wahyu dari Allah s.w.t. maka Nabi akan menolak wahyu dan mengekalkan pendapatnya yang terdahulu?

15. Bolehkah kita terima bahawa Rasulullah s.a.w. ingkar dan menolak wahyu dari Allah s.w.t.? Ini tidak masuk akal dan tidak disebut di mana-mana.

16. Tidak mungkin Hadith disamakan dengan wahyu Allah s.w.t. Hadith bergantung kepada periwayatan, penilaian/kajian oleh manusia biasa sedangkan wahyu Allah oleh Rasulullah s.a.w. untuk umat manusia.

17. Manusia terdedah kepada berbagai-bagai kelemahan dan kesilapan. Nabi Muhammad adalah Rasul dan Baginda tidaklah seperti manusia biasa dengan kelemahan-kelemahan mereka.

18. Umat Islam sekarang ini berada dalam keadaan yang buruk dan terhina. Negara mereka diserang, dilanda dan dihancurkan. Ratusan ribu orang Islam dibunuh, diseksa, ditawan; sekatan makanan dan ubat-ubatan menyebabkan beribu-ribu kanak-kanak dan orang tua mati. Agama Islam dicemuh, dikatakan agama pengganas yang dibawa oleh Nabi yang dikatakan ketua pengganas dan bermacam lagi.

19. Al-Quran berkata segala yang baik datangnya dari Allah s.w.t. dan segala yang buruk datangnya dari kita sendiri.

20. Bagi saya adalah jelas keburukan yang menimpa umat Islam adalah kerana perbuatan kita sendiri.

21. Untuk mengenalpasti apa yang salah yang dilakukan oleh umat Islam, saya membaca Al-Quran untuk mendapat panduan darinya. Dan saya dapati sungguh banyak daripada ajaran dan panduan yang terdapat dalam Al-Quran tidak diamalkan oleh kita. Ada juga yang ditolak oleh kita untuk mematuhi ajaran daripada punca lain.

22. Apabila sahaja datang orang yang pandai bercakap maka kita mengikuti mereka. Sebab itu ada Ashaari dan Ayah Pin. Dan banyak pula tarikat diadakan yang tidak menepati ajaran Islam.

23. Dan ramai juga yang lebih percaya kepada punca ajaran yang tidak dari Al-Quran, bahkan bertentangan dengan Islam.

24. Sebaliknya kita tahu Islam adalah Ad-deen, cara hidup. Dan sesungguhnya terdapat panduan yang jelas dalam Al-Quran berkenaan cara hidup bagi orang Islam. Dan jika cara hidup ini diamalkan maka tetap orang Islam akan berjaya, akan terpelihara daripada keburukan yang disebut tadi.

25. Tafsiran ajaran Islam yang berbeza-beza, mengutamakan Hadith lebih dari Al-Quran, fatwa yang dibuat yang tidak membantu umat Islam, dan kesediaan mengikut nafsu dan tidak akal fikiran, ghairah untuk menunjuk-nunjuk betapa kuatnya ke-Islaman kita – semua ini menyumbang kepada keburukan yang menimpa umat Islam.

26. Sesungguhnya umat Islamlah yang bersalah, terutama kerana membelakangkan wahyu Allah s.w.t. dalam Al-Quran. Selagi kita tidak mengaku kesalahan kita, selagi kita tidak kembali kepada ajaran Islam yang sebenar iaitu yang didapati dalam Al-Quran serta Hadith sohih dan fatwa-fatwa yang tidak bertentangan dengan Al-Quran, selama itulah kita akan berada dalam keadaan terhina dan tertindas.

27. Saya akui ada hukum potong tangan si pencuri. Tetapi pelaksanaannya mestilah mengambil kira keadaan. Jika kita tidak dapat laksanakan hukum ini kepada semua kerana perbezaan agama dan kemungkinan huru-hara berlaku, adalah lebih baik kita tidak laksanakan hukum ini keatas orang Islam sahaja sehingga berlaku ketidakadilan.

28. Saya tidak berkata orang Melayu banyak yang mencuri tetapi hakikatnya jumlah mereka yang mencuri di negara ini lebih ramai daripada orang bukan Islam. Hukuman yang berbeza antara rakyat sebuah negara tetap akan memperlihatkan ramai orang Melayu yang kudong tangan sementara orang bukan Islam kena dua bulan penjara. Adilkah ini?

29. Hukum bunuh orang yang murtad adalah juga dari Hadith. Hukum ini bukan dari Al-Quran.

Hudud

30. Dalam Quran hudud diterjemah dengan perkataan “had” atau dalam Bahasa Inggeris “limit”. Had bermakna “setakat itu” tidak boleh lebih daripada itu.

31. Hukum-hukum yang terdapat dalam Al-Quran adalah hukum yang maksimum, yang tertinggi yang boleh dikenakan. Ini bermakna hukum yang kurang daripada yang tertinggi juga boleh dikenakan.

32. Tetapi kita asyik dengan nafsu yang ingin menunjuk-nunjuk betapa kerasnya pegangan kita kepada agama Islam. Justeru itu kita tafsir hudud bermakna yang tertinggi sekali daripada hukuman yang mungkin dijatuhkan mestilah dikenakan setiap kali.

33. Al-Quran dan agama Islam memberi banyak kelonggaran kepada pengamalan agama kita. Islam bukan diturunkan oleh Allah s.w.t. untuk menjadi beban kepada penganutnya.

34. Tetapi ramai daripada kita suka jika Islam menjadi beban yang berat supaya pengamal ajaran Islam dapat buktikan betapa kuatnya pegangan mereka kepada agama Islam. Kita suka jika kita didera sepanjang masa supaya dapat kita tunjuk betapa kuatnya iman kita. Kerana inilah wujud puak-puak yang keterlaluan dalam pengamalan agama mereka yang sering berkata orang lain kurang Islam atau tidak Islam. Dengan ini perpecahan berlaku di kalangan umat Islam sehingga mereka menjadi lemah dan mudah diperkosa oleh orang lain.

35. Ya. Saya bukan ulama. Saya tidak fasih dalam Bahasa Arab. Saya tidak terlatih seperti orang yang tidak senang dengan penjelasan saya, terlatih dan berijazah. Tetapi sebagai seorang orang Islam yang sedih dan perihatin terhadap nasib yang menimpa orang Islam saya berhak mencuba mengenalpasti sebab-sebab malapetaka menimpa kita.

36. Al-Quran juga berkata Allah SWT tidak akan mengubah nasib buruk kita sehingga kita berusaha mengubah nasib kita sendiri. Mengenalpasti sebab-sebab nasib kita menjadi buruk adalah usaha awalan untuk memperbaikinya.

37. Insyaallah, Tuhan tidak akan menghampa usaha dan harapan kita.

sumber: Blog Tun Dr Mahathir http://chedet.cc/blog/?p=726

  
Jawapan Hilal Asyraf kepada Tun Dr Mahathir Mohamad -Hilal Asyraf-

Tun Dr Mahathir yang saya kasihi kerana Allah SWT,

————————————–
1. Saya ucap terima kasih kepada Hilal Asyraf kerana menjawab dengan panjang lebar soalan-soalan saya.
————————————–
Saya mengucapkan sama-sama. Sungguh saya sangat senang hati Tun sudi baca walaupun panjang. Nyata itu menunjukkan kerendahan hati Tun. Kala ada orang mempersoalkan mengapa saya menulis panjang lebar, Tun dengan lapang hati tidak kisah, bahkan sanggup membacanya.

Itu nyata menambahkan rasa hormat saya kepada Tun.
Saya yang sepatutnya mengucapkan terima kasih. Terima kasih Tun.
————————————-

2. Sebenarnya saya membuat soalan-soalan kerana ingin mendapat pengesahan berkenaan reaksi terhadap apa yang telah diucapkan oleh saya berkenaan hudud.

3. Jawapan Hilal mengesahkan apa yang saya syaki, iaitu Hilal dan mungkin ramai orang Islam lain berpendapat bahawa wahyu Allah s.w.t. seperti yang terdapat dalam Al-Quran adalah setaraf dengan Hadith sohih Bukhari, iaitu kesahihan yang dibuat oleh manusia biasa walaupun pakar dalam bidang Hadith.
————————————–

Ya. Saya sebenarnya sudah dapat agak itu tujuan Tun. Sebab itu saya berusaha menjawab dengan rujukan. Sebagai tanda jawapan saya punya asas. Tiadalah saya menjawab sekadar mendengar orang kata, atau berfikir menggunakan fikiran saya semata-mata.

‘Setaraf dengan hadith sohih bukhari’ ini satu kenyataan yang silap, Tun yang saya kasihi. Yang saya nyatakan, hadith, as-sunnah, yang Rasulullah SAW benar-benar buat itu.

Manakala berkenaan Hadith Sohih Bukhari, saya hanya menyatakan taraf kekuatannya yang setakat ini masih tidak dinafikan para ulama’. Sudah saya nyatakan mengapa dan kenapa. Bahkan saya juga menyatakan bahawa, sekiranya terdapat juga apa yang kita rasa silap pada Bukhari ini, boleh kita kaji dengan ilmu jarah wa ta’dil.

Saya rasa, saya jelas tulis berkenaan bagaimana perlunya kita kembali kepada ilmu jarah wa ta’dil, ilmu periwayatan hadith, merujuk kitab-kitab ar-rijal untuk perkara sedemikian.

Perkara ini, Imam Al-Bukhari pun tidak terkecuali. Cuma, Imam Al-Bukhari, walau disaring seketat ini, tiada yang dapat menafikan keampuhan hadith-hadith yang diriwayatkan olehnya. Itu maksudnya, Tun.

Jadi, sekiranya kita masih hendak meragui betapa mantapnya hadith-hadith yang diriwayatkan oleh seorang Imam Al-Bukhari, maka pergilah kita nilai periwayatannya. Saya terangkan dengan detail tempoh hari, adalah supaya kita tidak semata-mata menilai Bukhari, hatta imam-imam perawi hadith lain, sewenang-wenangnya.

Perkara ini ada ilmunya Tun. Ibarat kalau kita mahu cabut gigi yang sakit, bukan dicabut semberono sahaja. Ada tekniknya kan Tun? Sebab setahu saya, kalau kita main cabut sahaja, maka gigi kita akan tumbuh dalam keadaan tidak tersusun, tidak cantik.

Saya kira, begitulah juga ilmu periwayatan hadith. Mahu nyatakan satu-satu hadith itu tidak benar, maka perlulah melalui ‘teknik’nya.

Itu mesej saya apabila saya terangkan dengan panjang lebar tempoh hari, Tun.
—————————————–


4. Lebih teruk lagi ialah pendapat bahawa ada ayat Al-Quran yang sudah dimansuh tetapi masih boleh dibaca iaitu baca tanpa terima.

5. Tidak pula disebut ayat yang mana yang telah dimansuh. Apakah yang dimansuh ini ialah ayat yang bertentangan dengan Hadith yang dikatakan sohih?

——————————————
Tun yang saya kasihi kerana Allah SWT,

Telah saya berusaha nyatakan dengan sebaik mungkin, bahawa perkara itu(pemansuhan), perlu kita menyelam pula ke dalam ilmu nasakh wa mansukh. Perkara ini Tun, semuanya telah didokumentasikan. Telah dikaji. Tun boleh buka kitab seperti ‘Ulum Al-Quran karangan Allahyarham Sheikh Fadhl Hassan ‘Abbas, ulama’ terkenal dalam bidang Al-Quran di Jordan. Anak muridnya, Dr Muhammad Jamal adalah guru saya dalam bidang tafsir Al-Quran.

Ayat Al-Quran ada yang dimansuhkan hukumnya, tetapi dikekalkan bacaannya. Saya tak nyatakan tempoh hari, kerana saya tak rasa itu perlu dalam perbincangan tempoh hari. Tun pun mahu seringkas yang mungkin, dan saya pula menyedari penulisan saya sudah panjang. Tetapi Tun minta kali ini, saya berilah beberapa contoh:

1 – Ayat 184 Surah Al-Baqarah: “dan wajib atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin.”
Dimansuhkan dengan ayat 185 Surah Al-Baqarah: “dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah ia berbuka, Kemudian wajiblah ia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. (Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran.”

2 – Surah Al-Anfal ayat 65: “ Jika ada di antara kamu dua puluh yang sabar, nescaya mereka dapat menewaskan dua ratus orang (dari pihak musuh yang kafir itu); dan jika ada di antara kamu seratus orang, nescaya mereka dapat menewaskan seribu orang dari golongan yang kafir, disebabkan mereka (yang kafir itu) orang-orang yang tidak mengerti.”

Dimansuhkan dengan ayat 66 Surah Al-Anfal: “Sekarang Allah telah meringankan daripada kamu (apa yang telah diwajibkan dahulu) kerana Ia mengetahui bahawa pada kamu ada kelemahan; oleh itu jika ada di antara kamu seratus orang yang sabar, nescaya mereka akan dapat menewaskan dua ratus orang; dan jika ada di antara kamu seribu orang, nescaya mereka dapat menewaskan dua ribu orang dengan izin Allah.”

3 -  Surah Al-Muzammil ayat 1-2: “Wahai orang yang berselimut!. Bangunlah sembahyang Tahajjud pada waktu malam, selain dari sedikit masa”
Dimansuhkan dengan Surah Al-Muzammil ayat 20: “Sesungguhnya Tuhanmu (wahai Muhammad) mengetahui bahawasanya engkau bangun (sembahyang Tahajjud) selama kurang dari dua pertiga malam, dan selama satu perduanya, dan selama satu pertiganya; dan (demikian juga dilakukan oleh) segolongan dari orang-orang yang bersama-samamu (kerana hendak menepati perintah yang terdahulu); padahal Allah jualah yang menentukan dengan tepat kadar masa malam dan siang. Ia mengetahui bahawa kamu tidak sekali-kali akan dapat mengira dengan tepat kadar masa itu, lalu Ia menarik balik perintahNya yang terdahulu (dengan memberi kemudahan) kepada kamu; oleh itu bacalah mana-mana yang mudah kamu dapat membacanya dari Al-Quran (dalam sembahyang). Ia juga mengetahui bahawa akan ada di antara kamu orang-orang yang sakit; dan yang lainnya orang-orang yang musafir di muka bumi untuk mencari rezeki dari limpah kurnia Allah; dan yang lainnya lagi orang-orang yang berjuang pada jalan Allah (membela ugamaNya). Maka bacalah mana-mana yang sudah kamu dapat membacanya dari Al-Quran; dan dirikanlah sembahyang serta berikanlah zakat; dan berilah pinjaman kepada Allah sebagai pinjaman yang baik (ikhlas). Dan (ingatlah), apa jua kebaikan yang kamu kerjakan sebagai bekalan untuk diri kamu, tentulah kamu akan mendapat balasannya pada sisi Allah, -sebagai balasan yang sebaik-baiknya dan yang amat besar pahalanya. Dan mintalah ampun kepada Allah; sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”

Itu antara contoh yang saya boleh beri. Kita masih membaca kedua-dua ayat, walau salah satu telah dimansuhkan. Jadi pada hemat saya, kita tidak patut kata perkara ini ‘lebih teruk’.

Dan bukanlah ayat-ayat ini dimansuhkan kerana bertentangan dengan hadith yang sohih.

Kita bukannya seperti Nasrani dan Yahudi yang mengubah kitab suci mereka agar selaras dengan hawa nafsu mereka.

Kenyataan Tun, seakan-akan hendak menyatakan bahawa, ada ‘tangan’ yang mengubah Al-Quran mengikut hawa nafsu mereka. Saya yakin Tun, perkara itu tidak berlaku.

Sudah saya jelaskan betapa ketatnya penyaringan yang berlaku, dan bukannya dilakukan oleh satu-dua orang. Saya berharap, penjelasan saya tempoh hari berkenaan betapa telitinya orang terdahulu di dalam Islam dalam menjaga agama, diperhatikan semula.

Bab nasakh wa mansukh ini sahaja sudah besar dan perlu didalami, digali.

Saya yakin 100% di dalam Islam tiada isu ‘kita mansuhkan ayat itu, kerana ia bertentangan dengan hadith ini. Kita nak hadith ini.”

Jika benar ada sedemikian, maka sarjana-sarjana Islam dari dulu hingga sekarang adalah pembohong besar. Dan ini pada saya nyata satu tuduhan yang berat, Tun.

——————————————



6. Berkenaan dengan Surah An-Nur, Ayat 2, (ayat yang terang dan jelas iaitu ayat Mukhamat) dan saya perturunkannya disini; “Perempuan dan lelaki yang berzina, hendaklah kamu sebat tiap-tiap seorang dari keduanya seratus kali sebat; dan janganlah kamu dipengaruhi oleh perasaan belas kasihan terhadap keduanya dalam menjalankan hukum agama Allah, jika benar kamu beriman kepada Allah dan hari Akhirat dan hendaklah disaksikan hukuman seksa yang dikenakan kepada mereka itu oleh sekumpulan orang-orang yang beriman.”


7. Bandingkan “hukum sebat seratus kali” dengan “orang itu direjam” dalam Hadith sohih riwayat Bukhari (Dari Jabir bin Abdullah Al Ansar RA).


8. Bolehkah disamakan hukum sebat dan hukum rejam (iaitu hukum bunuh)? Siapa pun yang berfikiran waras akan berkata hukum-hukum ini amat berbeza. Justeru itu dakwaan Hilal seperti berikut, “Jelas, sekali lagi, hukum ini daripada Al-Quran dan Hadith”, memberi gambaran seolah-olah hukum dalam Al-Quran iaitu “sebat” adalah sama dengan hukum rejam dalam Hadith.” Pemikiran yang waras tidak mungkin mengaku yang sebat dengan bunuh adalah sama.

——————————————
Tun yang saya kasihi kerana Allah SWT,

Saya yakin bahawa saya pun tidak pernah kata hukum sebat dengan rejam sampai mati itu sama. Dan saya tidak rasa bahawa saya letak ayat ‘jelas, sekali lagi, hukum ini daripada Al-Quran dan hadith’ adalah untuk samakan hukum sebat dan hukum rejam.
‘Hukum ini’ itu adalah merujuk kepada hukuman yang dijatuhkan ke atas penzina. Saya jelaskan pula, ada beza yang kahwin dengan belum kahwin. Saya rasa, semua orang waras, sebab itu saya tulis begitu, sebab saya yakin orang faham saya sedang tulis apa.
Dan sekiranya diteliti jawapan saya kepada Tun tempoh hari, maka Tun akan menemui bahawa saya menyebut hukum rejam itu ada pandangan-pandangannya. Saya tidak panjangkan perkara itu secara detail kerana nyata jawapan saya telah panjang.
Ada sebahagian ulama’ menyatakan bahawa ‘rejam sampai mati’ bukan qat’ie. Itu hanya ta’zir di zaman Rasulullah SAW kerana culture pada zaman itu. Ada yang berdalilkan bahawa, rejam sampai mati ini hukum ummat terdahulu. Tambahan pula, mereka ini berpendapat bahawa ayat rejam itu telah dimansuhkan bacaan dan hukumnya sekaligus. Diganti dengan umum, semua penzina, berkahwin atau bujang, hanya dikenakan sebat 100 kali.
Ada pula sebahagian ulama’ pula berpendapat, qat’ie, kerana terdapat hadith sohih daripada kitab Sohih Bukhari dan Kitab Sohih Muslim, yang menyatakan bahawa rejam dilaksanakan di zaman Rasulullah SAW dan para sahabat meneruskannya. Diyatakan di dalam hadith yang sama juga bahawa, Allah SWT ada menurunkan ayat rejam, dan kemudian dimansukhkan bacaan ayat itu, tetapi kekal perlaksanaan hukumannya. Boleh rujuk: Sohih Muslim, III, No. 4194 dan Sohih Bukhari, VIII, No. 816.
Kalau kita buka bab nasikh wa mansukh, permasalahan rejam ini ada dibincangkan.
Dan kalau kita kembali kepada Tafsir Mafatihul Ghaib karangan Ar-Razi, dalam tafsir Surah An-Nur, perkara ini dibahaskan dengan detail, dan kesimpulannya adalah rejam memang dari Al-Quran, ayatnya telah dimansuhkan tetapi hukumnya kekal, dan sunnah nabawiyah melalui hadith yang dinyatakan di atas.
Jadi jelas, sebagaimana yang saya nyatakan tempoh hari, isu rejam ini, ada perbahasannya. Sila rujuk semula jawapan saya.
Ada yang berpendapat dengan pendapat pertama, ada yang berpendapat dengan pendapat kedua.
Justeru, bila saya nyatakan ianya ada perbahasan, maka saya sendiri tidak kata saya berpegang bahawa rejam itu sebahagian daripada hudud. Cuma tempoh hari, semasa menulis nota itu, apabila Tun menyatakan ‘hukum hudud adalah rekaan ahli fiqah’, saya letakkan juga perihal rejam kerana saya nak menegaskan bahawa, ulama’ tidaklah mereka-reka perkara itu. Jelas mereka punya asas, dan ada pendalilan mereka. Itu adalah ijtihad mereka. Bukan mereka reka ikut hawa nafsu mereka.
Maka jika mahu menolak, pada pandangan saya, tidak patut kita sekadar menyatakan itu rekaan. Kita perlu tunjukkan dalil kita pula.

——————————————

9. Memanglah Bukhari membuat kajian mendalam mengikut syarat-syarat yang Bukhari sendiri mengenakan kepada dirinya. Memang pun Hadith sohih Bukhari yang tidak bertentangan dengan ayat Al-Quran boleh diterima sebagai sohih.


10. Yang menimbul masalah ialah apabila sohih Bukhari tidak sama dengan wahyu Allah s.w.t. dalam Al-Quran – umpamanya Surah An-Nur, Ayat 2.


11. Hanya dengan berkata tidak ada percanggahan antara Hadith yang sohih dengan ayat-ayat Al-Quran bermakna menafi kenyataan. Percanggahan memang ada seperti yang disebut diatas.


12. Jawapan, “Sekiranya kita menjumpai ta’arudh (perlanggaran, percanggahan) ini, di antara Hadith yang sohih dengan ayat Al-Quran, maka hendaklah kita kaji semula apakah sebabnya. Dan biasanya, percanggahan itu bukanlah percanggahan, tetapi diantaranya disebabkan (mengikut surat kedua Hilal):


(a) “Silap dalam periwayatan Hadith”


(b) “Ayat Al-Quran itu sudah dinasakh (mansuh) hukumnya, tetapi tidak dinasakh (mansuh) bacaannya”


(c) “Atau Rasullah s.a.w. melakukan/membenarkan/melarang perkara tersebut, sebelum ayat Al-Quran turun melarang/membenarkan”


Mengikut pendapat ini “silap periwayatan Hadith” lebih mudah diterima kerana daripada 600,000 hadith kebanyakannya lemah dan tidak sohih, daripada mendakwa “ayat Al-Quran itu sudah dimansuh” sesuatu yang amat bercanggah dengan penerimaan oleh orang Islam bahawa Al-Quran itu mengumpul semua wahyu Allah s.w.t. yang disampaikan kepada Rasulnya, Muhammad s.a.w. untuk umat manusia.

——————————————
Tun yang saya kasihi kerana Allah SWT,
Silap dalam periwayatan ni Tun, pada pandangan saya yang do’if ini, kita nilai dengan ilmu. Bukan dengan akal semata-mata.
Ada ilmu untuk menilai silap dalam periwayatan hadith ini. Kerana itu adanya ilmu ‘takhrij ahadith’, yang di dalamnya dibahaskan berkenaan kitab-kitab Ar-Rijal(sejarah dan penilitian terhadap semua perawi hadith), berkenaan jarah wa ta’dil(kritikan dan pujian kepada hadith yang diriwayatkan), dan sebagainya.
Bukannya bila kita tengok nampak macam tak kena, terus kita hukum ini salah dari periwayatan. Contoh nak kata periwayatan itu silap adalah, ada orang yang diketahui nyanyuk dalam senarai perawi hadith tersebut. Maka bolehlah kita persoalkan. Contoh lain, diketahui bahawa salah seorang perawi hadith tersebut memang terkenal sebagai penipu. Maka bolehlah kita persoalkan.
Maka, sekiranya kita hendak nyatakan satu-satu hadith itu salah dalam periwayatannya, maka perlulah kita gali semua kitab-kitab Ar-Rijal, mengamalkan teknik jarah wa ta’dil, dan nyatakan di mana kecacatannya. Bukan semudah dengan: “Saya rasa hadith ini tidak sohih.”

Dan itu sama sekali tidak menafikan wujudnya ayat Al-Quran yang dimansuhkan. Saya rasa Tun, perkara nasakh wa mansukh ini, dalam teks pengajian agama yang Kementerian Pelajaran tetapkan pun ada nyatakan. Dan ini bukan bicara seorang dua ulama’. Perkara ini ada perbincangan dan perbahasannya. Jika Tun mahu nafikan, maka kemukakan rujukannya.
Kemudian, jelas bahawa saya telah memberikan penerangan yang saya nyatakan tiada percanggahan itu adalah hadith yang benar-benar datang daripada Rasulullah SAW. Saya sudah nyatakan, kalau daripada hadith yang sohih itu, tetap juga berlaku percanggahan, maka perlulah dikaji terlebih dahulu periwayatannya, atau bab nasakh wa mansukhnya.
Persoalannya, di mana kesilapan Bukhari di dalam periwayatannya? Saya memandang berat akan hal ini kerana, sekiranya kita menuduh Bukhari silap, maka kita automatik menuduh ulama’ pada zamannya, juga pada zaman-zaman selepasnya, juga silap. Sedangkan, Kitab Sohih Bukhari itu saban waktu dikaji dan dikaji.
Sekiranya yang dikatakan ‘percanggahan’ itu benar-benar ‘percanggahan’, maka perkara ini nyata besar, dan tuduhan ini diletakkan atas bahu para ulama’ terdahulu hingga sekarang. Jadi, adalah sepatutnya, jika kita mahu membuktikan ‘benar bahawa Bukhari meriwayatkan hadith yang bercanggah, dan ini adalah satu kesilapan pada pihak Bukhari’, maka datangkanlah dengan bukti bahawa Bukhari benar-benar tersilap. Bukan sekadar berkata begitu sahaja.

———————————————

13. Hilal sendiri mencatit, “Menolak apa-apa sahaja daripada Al-Quran hukumnya adalah kafir”. Surah Al-Maidah, Ayat 44 berbunyi “Oleh itu janganlah kamu takut kepada manusia tetapi hendaklah kamu takut kepadaKu, dan janganlah kamu menjual ayat-ayatKu dengan harga sedikit, dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah maka mereka itulah orang-orang kafir. Tidak pula disebut di mana-mana “tidak menghukum mengikut Hadith adalah kafir.”

———————————————
Tun yang saya kasihi kerana Allah SWT,
Antara arahan Allah SWT di dalam Al-Quran adalah: 
“Dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah kepada kamu maka terimalah, dan apa jua yang dilarang olehnya apa  yang kamu lakukan, maka berhentilah.” Surah Al-Hasyr ayat 7.
Menolak hadith sohih yang memang tak mampu ditentang lagi kesohihannya(menandakan ianya memang daripada Rasulullah SAW), bukankah telah melanggar, meninggalkan perintah Allah SWT dalam surah Al-Hasyr ayat 7 ini, Tun?
Sekiranya kita mahu menolak satu-satu hadith, kita patut membahaskannya terlebih dahulu. Kita kaji terlebih dahulu. Bukan kita tolak begitu sahaja. Saya sudah nyatakan akan betapa ketatnya perkara ini perlu dijalankan.
———————————————-

14. Memansuhkan ayat Al-Quran samalah dengan menolak ayat Al-Quran dan hukumannya juga tentulah kafir. Siapakah yang memansuhkan ayat Al-Quran dan ayat yang mana yang dimansuhkan? Tidak ada bukti yang Nabi yang memansuhkannya. Jika sebelum diterima wahyu, Rasullah s.a.w. melakukan/membenarkan/melarang perkara tersebut, apakah apabila kemudian Nabi Muhammad menerima wahyu dari Allah s.w.t. maka Nabi akan menolak wahyu dan mengekalkan pendapatnya yang terdahulu?

———————————————-

Tun yang saya kasihi kerana Allah SWT,
Sekiranya kita mendalami ayat-ayat Allah SWT, Allah sendirilah yang sebut fasal nasakh wa mansukh ini Tun. Pembaca Al-Quran yang mentadabbur Al-Quran, kalau pun tidak arif dalam isu nasakh wa mansukh, akan mengetahui bahawa perkara itu ada.
Hal ini kerana, Allah SWT sendiri menyebut dalam firmanNya:
 “Ayat mana saja yang Kami nasakhkan, atau Kami jadikan (manusia) lupa kepadanya, Kami datangkan yang lebih baik daripadanya atau yang sebanding dengannya. tidakkah kamu mengetahui bahwa Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu” Surah Al-Baqarah ayat 106
“Dan apabila Kami tukarkan satu ayat (Al-Quran) untuk menggantikan ayat yang lain (yang dimansukhkan), dan Allah memang mengetahui akan apa yang Ia turunkan, – berkatalah mereka (yang kafir): “Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) hanyalah seorang pendusta”; (padahal Nabi Muhammad tidak berdusta) bahkan kebanyakan mereka tidak mengetahui hakikat yang sebenarnya.” Surah An-Nahl ayat 101.
Bukannya Rasulullah SAW yang mansuhkan. Allah yang mansuhkan. Apakah sekarang ini, selepas membaca ayat-ayat ini, kita nak kata Rasulullah SAW pula yang reka-reka ayat ini? Allah telah siap-siap sebut bahawa memang akan ada yang tuduh Rasulullah SAW itu pendusta.
Tiada manusia yang memansuhkan ayat Al-Quran. Jelas, kalau manusia yang buat, kita akan kata dia kafir. Tetapi masalahnya Tun, yang mansuhkan ni, Allah. Maka, mustahil Tuhan kita kafir.
Sekiranya kita masuk di dalam ilmu asalib bayan(cara-cara penyampaian) Al-Quran, dan i’jaz Al-Quran(mukjizat Al-Quran), kita akan melihat betapa sempurnanya Al-Quran dari segi susunan bahasa. Bahkan, setiap kalimat yang wujud di dalam Al-Quran, adalah signifikan semuanya. Mustahil manusia mampu melakukan sedemikian rupa. Rujukan saya akan hal ini adalah Kitab Asalib Bayan, dan Kitab I’jaz Al-Quran karangan Allahyarham Dr Fadhl Hassan ‘Abbas.
Maka jelas, sekiranya ada campur tangan manusia di dalam Al-Quran kita sekarang, kita akan menjumpai kedangkalannya. Sebab itu antara kewajipan kita mengekalkan teks arab untuk Al-Quran, kerana teks asal itulah yang akan membuktikan kebenarannya. Tidak seperti Bible yang kini tidak lagi menggunakan bahasa asalnya, dan jelas kita nampak banyak kelemahannya hasil campur tangan manusia di dalamnya.
Jadi, saya amat yakin tiada campur tangan manusia di dalam hal ini, dan pemansuhan itu dilakukan oleh Allah SWT sendiri. Sekiranya ada campur tangan manusia, jelas Al-Quran akan menjadi dangkal dan janggal bacaannya.
Kita boleh cuba perkara ini dengan membaca Al-Quran-Al-Quran palsu yang direka oleh musuh-musuh Islam. Akan menjadi jelas apa yang saya sebutkan ini.

————————————

15. Bolehkah kita terima bahawa Rasulah s.a.w. ingkar dan menolak wahyu dari Allah s.w.t.? Ini tidak masuk akal dan tidak disebut di mana-mana.
———————————–
Ya. Memang tidak masuk akal. Saya sendiri tidak sebut begitu. Saya sudah jelaskan sebelum ini akan hal ini.
————————————

16. Tidak mungkin Hadith disamakan dengan wahyu Allah s.w.t. Hadith bergantung kepada periwayatan, penilaian/kajian oleh manusia biasa sedangkan wahyu Allah oleh Rasullah s.a.w. untuk umat manusia.
———————————-
Tun yang saya kasihi kerana Allah SWT,

Saya rasa, salah faham hanya akan berlaku, sekiranya kita sama ratakan semua hadith yang diriwayatkan oleh pelbagai jenis perawi. Yang saya nyatakan setaraf dengan wahyu Allah SWT, adalah hadith yang sohih yang memang daripada Rasulullah SAW.  Telah saya nyatakan tadi perkara ini.
Sekiranya tidak setaraf, maka buat apa Allah SWT berikan autoriti kepada Rasulullah SAW agar perintah baginda dan larangan baginda diikuti seperti di dalam Surah Al-Hasyr ayat 7?
Buat apa Allah SWT berfirman di dalam surah An-Najm ayat 2-4, yang bermaksud:
“Rakan kamu (Muhammad yang kamu tuduh dengan berbagai tuduhan itu), tidaklah ia menyeleweng (dari jalan yang benar), dan ia pula tidak sesat (dengan kepercayaan yang salah). Dan ia tidak memperkatakan (sesuatu yang berhubung dengan ugama Islam) menurut kemahuan dan pendapatnya sendiri. Melainkan yang diperkatakannya itu (sama ada Al-Quran atau hadis) tidak lain hanyalah wahyu yang diwahyukan kepadanya”
Dan hadith Rasulullah SAW juga untuk seluruh ummat manusia.
Kalau hendak diperbahaskan dengan lebih detail dan panjang, Al-Quran pun ada penilaian dan kajian oleh manusia biasa. Sebab itu zaman berzaman, wujud pentafsir Al-Quran yang mentafsirkan Al-Quran.
Cubalah Tun santuni tafsir-tafsir para pentafsir dari zaman berzaman seperti Kitab Mafatihul Ghaib karangan Ar-Razi, Tafsir At-Tobari oleh Muhammad ibn Jarir, Tafsir Ruuhul Ma’ani oleh Imam Alusi, Tafsir Fi Zilalil Quran karangan Syed Qutb dan sebagainya.
Tinggalnya, kalau hendak kita lihat ‘kurang’nya hadith berbanding Al-Quran adalah, hadith ada yang diriwayatkan dengan makna tanpa lafaznya yang asal. Manakala Al-Quran, kita riwayatkan dengan teksnya yang asal.
Manakala dari segi periwayatan dan sebagainya, saya telah jelaskan di dalam jawapan saya tempoh hari. Al-Quran pun diriwayatkan juga. Kita boleh rujuk semula ilmu yang membahaskan berkenaan pembukuan Al-Quran.
Kita membahaskan hadith, kita juga membahaskan Al-Quran. Perkara ini berjalan zaman berzaman. Perkara ini berlaku, kerana autoriti Al-Quran dan Hadith adalah sama. Hanya akan jadi tidak sama, sekiranya ayat An-Najm 2-4 itu tidak wujud. Tetapi ayat itu nyata wujud, menguatkan bahawa hadith Rasulullah SAW, apa yang Rasulullah SAW buat, suruh, larang, semuanya adalah wahyu daripada Allah SWT.
Maka dengan itu saya tidak nampak ini ‘persamaan taraf antara hadith dan Al-Quran’ sebagai satu masalah, satu keraguan, Tun.
Saya rasa, mungkin ramai orang salah faham berbezanya antara ‘hadith’/’sunnah’ dengan ‘ilmu hadith’/’ilmu sunnah’. Sama macam ramai orang salah faham terhadap berbezanya ‘Aqidah’, dengan ‘ilmu Aqidah’.
————————————

17. Manusia terdedah kepada berbagai-bagai kelemahan dan kesilapan. Nabi Muhammad adalah Rasul dan Baginda tidaklah seperti manusia biasa dengan kelemahan-kelemahan mereka.
————————————
Itu kita akui, Tun. Rasulullah SAW adalah maksum. Nyatanya baginda tidak akan sesekali sama dengan kita, manusia biasa ini.
———————————–

18. Umat Islam sekarang ini berada dalam keadaan yang buruk dan terhina. Negara mereka diserang, dilanda dan dihancurkan. Ratusan ribu orang Islam dibunuh, diseksa, ditawan; sekatan makanan dan ubat-ubatan menyebabkan beribu-ribu kanak-kanak dan orang tua mati. Agama Islam dicemuh, dikatakan agama pengganas yang dibawa oleh Nabi yang dikatakan ketua pengganas dan bermacam lagi.


19. Al-Quran berkata segala yang baik datangnya dari Allah s.w.t. dan segala yang buruk datangnya dari kita sendiri.


20. Bagi saya adalah jelas keburukan yang menimpa umat Islam adalah kerana perbuatan kita sendiri.


21. Untuk mengenalpasti apa yang salah yang dilakukan oleh umat Islam, saya membaca Al-Quran untuk mendapat panduan darinya. Dan saya dapati sungguh banyak daripada ajaran dan panduan yang terdapat dalam Al-Quran tidak diamalkan oleh kita. Ada juga yang ditolak oleh kita untuk mematuhi ajaran daripada punca lain.
—————————————

Ya. Bahagian ini, saya nyata bersetuju dengan Tun. Memang benar, kehinaan yang kita terima hari ini adalah kerana kesilapan kita sendiri. Membelakangkan ajaran Allah SWT yang sebenar.
Kita telah meninggalkan cara hidup Islam yang sebenar, mengambil sistem lain sebagai perlembagaan untuk mentadbir negara kita, dan membiakkan korupsi, serta meninggalkan keadilan yang sebenar. Isu seperti kronisme, nyata memberikan kita hentaman yang sangat teruk kepada kepimpinan negara, sekaligus memberikan kesan kepada rakyat marhein.
Kita biarkan maksiat berleluasa bebas, memudahkan urusan-urusan kemungkaran, membuka peluang kepada hedonisme untuk meracun kehidupan masyarakat, dan menyempitkan pandangan manusia terhadap Islam yang sebenar.
Ada pula dari kalangan kita menggunakan agama sebagai ‘senjata’ untuk menjatuhkan lawan, menjatuhkan saingan, menyebabkan akhirnya salah faham terhadap agama itu sendiri membiak. Kita letak agama atas nama bangsa, menyebabkan agama kelihatan lebih sempit, memberikan pandangan negatif terhadap Islam itu sendiri.
Kita warnakan Islam dengan pelbagai warna, mengikut hawa nafsu kita.
Ya, ini semua salah kita sebenarnya, yang meninggalkan Al-Quran dan As-Sunnah sebagai perlembagaan hidup.
—————————————-


22. Apabila sahaja datang orang yang pandai bercakap maka kita mengikuti mereka. Sebab itu ada Ashaari dan Ayah Pin. Dan banyak pula tarikat diadakan yang tidak menepati ajaran Islam.


23. Dan ramai juga yang lebih percaya kepada punca ajaran yang tidak dari Al-Quran, bahkan bertentangan dengan Islam.

24. Sebaliknya kita tahu Islam adalah Ad-deen, cara hidup. Dan sesungguhnya terdapat panduan yang jelas dalam Al-Quran berkenaan cara hidup bagi orang Islam. Dan jika cara hidup ini diamalkan maka tetap orang Islam akan berjaya, akan terpelihara daripada keburukan yang disebut tadi.

—————————————–
Tun yang saya kasihi kerana Allah SWT,
Sebab itu saya tegaskan dalam jawapan saya kepada Tun tempoh hari bahawa, punca ajaran Islam yang sebenar hanyalah Al-Quran dan As-Sunnah. Bukan fatwa ulama’, bukan ajaran tuk-tuk guru. Fatwa ulama’ dan ajaran tuk-tuk guru itu sendiri perlu mengikuti, selaras, dengan apa yang Al-Quran dan As-Sunnah gariskan.
Saya tegaskan sedemikian kerana, saya tidak mahu masyarakat kita kekal dalam ‘taklid buta’. Ikut semberono, mendewa-dewakan ulama’ hingga ke aras yang tidak sepatutnya.
Saya sendiri kurang senang dengan herdikan – hei, dia itu ulama’, dia tahu lah. Jangan pandai-pandai tegur dia – sebagaimana saya juga kurang senang dengan herdikan – dia itu Perdana Menteri, dia mestilah tahu semua – sebab jelas untuk saya, itu semua argumentasi yang tidak matang.
Kerana itu, pertama sekali, sebelum kita pergi kepada rakyat marhein, maka kita perlu tekankan kepada para ulama’ dan kepimpinan negara agar amanah, dan jujur, dalam membawa Al-Quran dan As-Sunnah yang sebenar. Bukan menggunakan hanya sebahagian ayat bagi memenangkan perjuangan mereka, dan meninggalkan pula sebahagian yang lain yang tidak selari dengan perjuangan mereka.
Kerana dua golongan inilah yang akan mempengaruhi masyarakat marhein dan ‘memerangkap’ pemikiran mereka.
Sebab itu, saya tidak pernah bersetuju dengan sekadar orang menggertak dengan: “Ini kata ulama’ tau!” atau “Ini Perdana Menteri cakap!” dan sebagainya. Kerana itu ‘memenjarakan’. Sedangkan yang kita perlu adalah perbahasan secara terbuka, bersama rujukan, bersama pendetailan, mengimbang kedua-dua pandangan dan melakukan pengkajian.
Saya rasa, kalau rakyat kita dididik dengan perkara ini secara serius, maka tidak akan berlaku isu ramai orang mengikut Abuya(Arqam) dan Ayah Pin.
Nyatanya, apabila saya memberikan rujukan, saya seakan mengajak masyarakat membuka kitab-kitab tersebut, bukan sekadar dengar ulama’ kata, bukan sekadar dengar pemimpin kata. Sebagaimana saranan Tun, jangan sekadar dengar orang yang pandai bercakap sahaja, terus ikut.
Sebab itu saya memberikan rujukan.
———————————————-

25. Tafsiran ajaran Islam yang berbeza-beza, mengutamakan Hadith lebih dari Al-Quran, fatwa yang dibuat yang tidak membantu umat Islam, dan kesediaan mengikut nafsu dan tidak akal fikiran, ghairah untuk menunjuk-nunjuk betapa kuatnya ke-Islaman kita – semua ini menyumbang kepada keburukan yang menimpa umat Islam.


26. Sesungguhnya umat Islamlah yang bersalah, terutama kerana membelakangkan wahyu Allah s.w.t. dalam Al-Quran. Selagi kita tidak mengaku kesalahan kita, selagi kita tidak kembali kepada ajaran Islam yang sebenar iaitu yang didapati dalam Al-Quran serta Hadith sohih dan fatwa-fatwa yang tidak bertentangan dengan Al-Quran, selama itulah kita akan berada dalam keadaan terhina dan tertindas.

————————————
Tun yang saya kasihi kerana Allah SWT,
Saya tidak nafikan memang kebanyakan ummat Islam hari ini, hidup dengan membelakangkan Al-Quran dan As-Sunnah.
Saya sentiasa nampak, kedua-duanya perlu bergerak seiring.
Saya bersetuju dengan betapa buruknya jika kita sekadar ghairah menunjuk-nunjuk kuatnya ke-Islaman kita. Memang benar, ini hanya akan menyumbang kepada keburukan yang menimpa ummat Islam hari ini.
Ramai menilai baiknya Islam kita semata-mata pada pakaian, semata-mata kepada bahasa ana-enta. Pada banyaknya masjid. Pada indahnya seni Islam pada bangunan-bangunan kita. Sedangkan Islam lebih luas daripada itu. Islam perlu dibina dengan kefahaman, justeru masyarakat perlu dididik dengan asas-asas dan cara hidup Islam yang sebenar. Itu yang patut kita utamakan, agar dapat membina rakyat yang kuat dan bersih kefahamannya. Barulah selepas itu, pakaian, bahasa, masjid yang kita bina, seni Islam yang wujud pada bangunan-bangunan kita, punya maknanya.
Saya juga bersetuju dengan Tun dalam keperluan kita kembali kepada Al-Quran, dan hadith sohih, serta apa-apa yang tidak bertentangan dengan Al-Quran dan As-Sunnah As-Sohihah itu sendiri.
———————————–


27. Saya akui ada hukum potong tangan si pencuri. Tetapi pelaksanaannya mestilah mengambil kira keadaan. Jika kita tidak dapat laksanakan hukum ini kepada semua kerana perbezaan agama dan kemungkinan huru-hara berlaku, adalah lebih baik kita tidak laksanakan hukum ini keatas orang Islam sahaja sehingga berlaku ketidakadilan.

28. Saya tidak berkata orang Melayu banyak yang mencuri tetapi hakikatnya jumlah mereka yang mencuri di negara ini lebih ramai daripada orang bukan Islam. Hukuman yang berbeza antara rakyat sebuah negara tetap akan memperlihatkan ramai orang Melayu yang kudong tangan sementara orang bukan Islam kena dua bulan penjara. Adilkah ini?
————————————
Tun yang saya kasihi kerana Allah SWT,
Maka akhirnya, Tun mengakui. Maka jelas, ini bukan rekaan ulama’ fiqah.
Ya, saya bersetuju dengan Tun sekiranya Tun menyatakan perlaksanaannya perlulah mengambil kira keadaan. Tetapi untuk saya, saya kekal percaya bahawa ‘keadaan masyarakat majmuk’ bukanlah halangan untuk melaksanakannya.
Izinkan saya memberikan pandangan saya berkenaan hal ini. Mungkin Tun dapat menelitinya. Ini sekadar pandangan saya.
Tun yang saya hormati, saya lebih percaya bahawa, antara halangan yang besar untuk melaksanakan hukum ini adalah kerana ‘para pemimpin negara sendiri masih belum dipersoalkan pengambilan harta-harta mereka’. Hudud ini asasnya adalah keadilan. Tun sendiri sebut tempoh hari. Adil diulang berkali-kali di dalam Al-Quran. Saya sendiri tidak bersetuju sekiranya hukum hudud ini disalah guna untuk menjatuhkan musuh politik atau membuatkan rakyat tunduk buta kepada kerajaan dan sebagainya.
Maka, saya melihat, yang pertama sekali perlu kita tegakkan hudud ini adalah kepada pemimpin, sebelum kita sibuk mahu menghukum rakyat. Saya sendiri tidak bersetuju jika rakyat yang mencuri roti kerana miskin kita hukum, tetapi pemimpin yang kaya raya tanpa kita tahu datang daripada mana hartanya tidak dipersoalkan dan tidak diberikan hukuman hudud ini.
Bahkan, di dalam peraturan untuk menjalankan hukum hudud itu sendiri adalah ketat. Saya sebelum ini beberapa kali menyatakan bahawa saya tidak arif akan persoalan ‘bagaimana hukum hudud itu perlu dijalankan’. Namun alhamdulillah, baru-baru ini Dr Asri Zainal Abidin bertandang ke Jordan, saya sempat berdiskusi dengannya akan hal perlaksanaan hudud ini.
Dengan diskusi bersamanya itu, saya bertambah yakin bahawa, hukum hudud itu dilaksanakan dengan penuh adil dan saksama. Tiada ummat Islam akan rugi, sekiranya hukum hudud ini dijalankan secara benar, jujur dan amanah.
Sekiranya kita takut orang melayu rugi kerana ramai yang kudung, maka sudah tiba masanya kita lakukan beberapa perkara.

1 – Memastikan sistem urusan pembayaran zakat mantap dan kemas. Semua bayar, dan semua zakat yang dibayar itu pula diberikan kepada yang berhak. Bukan pergi ke tempat lain yang tidak sepatutnya.
2 – Menghukum dan membuang mereka yang tidak amanah dalam menguruskan duit zakat, seterusnya menggantikan dengan yang lebih amanah, dan mengetatkan pemerhatian terhadap isu zakat.
3 – Mengenal pasti orang yang miskin, dan utamakan zakat kepada mereka. Pastikan ada progres kenaikan taraf hidup seperti diberi peluang pekerjaan, dan sebagainya.
Pada hemat saya Tun, sekiranya perkara ini berjalan dengan baik, selepas itu, kalau ada juga orang mencuri, memang patut dipotong tangannya sahaja sebagai pengajaran. Apabila telah terhapus ‘sebab untuk mencuri’, pergi mencuri juga, memang patut dikenakan hukuman yang berat kerana mencemarkan keadaan yang harmoni yang telah kita bina. Dan ini tidaklah kita laksanakan kerana ‘kita geram’ dan sebagainya. Kita pilih potong tangan, kerana memang Allah SWT yang sebut kena potong tangan.
Potong tangan ini Tun, sekadar yang saya faham, bukan semua kecurian kita potong tangan.
Ketika saya bersembang dengan Dr Asri Zainal Abidin tempoh hari, dia menyatakan bahawa kerajaan terlebih dahulu perlu bertanggungjawab menyediakan suasana yang kondusif, memberikan hak-hak yang sepatutnya, telus dan amanah dalam pengurusan zakat, dan pemimpinnya sendiri tidak korup dan merampok harta negara. Dalam suasana yang harmoni itulah, hudud dijalankan. Bila dijalankan pula, ada peraturannya. Curi, bukan semua curi kena potong. Ada kadarnya. Kemudian kalau mencuri sebab lapar, sebab miskin, kerajaan yang kena check balik, kenapa sampai boleh lapar dan miskin rakyat ini? Kerajaan buat apa sampai dia lapar dan miskin?
Begitulah yang sebenarnya saya faham Tun.
Jadi, saya tidak nampak ruginya perkara ini Tun. Bahkan, ini memberikan imej yang baik kepada orang Islam, Tun.
Jadi, saya bersetuju ‘keadaan sekarang’ bukan keadaan yang pantas untuk kita laksanakan hudud. Maka, kita patut berusaha ubah keadaan ini. Bukan asyik menyalahkan keadaan, dan menjadikan keadaan sebagai alasan.

————————————


29. Hukum bunuh orang yang murtad adalah juga dari Hadith. Hukum ini bukan dari Al-Quran.


Hudud


30. Dalam Quran hudud diterjemah dengan perkataan “had” atau dalam Bahasa Inggeris “limit”. Had bermakna “setakat itu” tidak boleh lebih daripada itu.


31. Hukum-hukum yang terdapat dalam Al-Quran adalah hukum yang maksimum, yang tertinggi yang boleh dikenakan. Ini bermakna hukum yang kurang daripada yang tertinggi juga boleh dikenakan.


32. Tetapi kita asyik dengan nafsu yang ingin menunjuk-nunjuk betapa kerasnya pegangan kita kepada agama Islam. Justeru itu kita tafsir hudud bermakna yang tertinggi sekali daripada hukuman yang mungkin dijatuhkan mestilah dikenakan setiap kali.


33. Al-Quran dan agama Islam memberi banyak kelonggaran kepada pengamalan agama kita. Islam bukan diturunkan oleh Allah s.w.t. untuk menjadi beban kepada penganutnya.


34. Tetapi ramai daripada kita suka jika Islam menjadi beban yang berat supaya pengamal ajaran Islam dapat buktikan betapa kuatnya pegangan mereka kepada agama Islam. Kita suka jika kita didera sepanjang masa supaya dapat kita tunjuk betapa kuatnya iman kita. Kerana inilah wujud puak-puak yang keterlaluan dalam pengamalan agama mereka yang sering berkata orang lain kurang Islam atau tidak Islam. Dengan ini perpecahan berlaku di kalangan umat Islam sehingga mereka menjadi lemah dan mudah diperkosa oleh orang lain.
———————————————————
Tun yang saya kasihi kerana Allah SWT,
Berkenaan hukum bunuh orang murtad ini Tun, setakat yang saya faham, bukan murtad terus kena bunuh. Nyatanya tidak selari dengan Islam yang mendidik tiada paksaan di dalam agama. Orang bebas memilih.
Tetapi yang murtad kemudian dibunuh ini, adalah yang murtad kemudiannya menentang Islam secara terang-terangan. Kerana itu wujud di dalam sejarah Islam, perang menentang ahlu riddah, yang di dalamnya terdapat mereka yang mengaku Nabi, kemudian menafikan zakat.  Kumpulan itu bertegas, bahkan membina kekuatan untuk menentang kerajaan Islam.
Itu pun Tun, saya yakin, bukan terus dibunuh. Diberikan masa. Dibawa kepada perbincangan. Kalau masih terus nak menentang, baru kita jalankan hukuman ini. Itu pun kalau berjaya ditangkap.
Manakala yang murtad sendiri-sendiri, kemudian dia hidup dengan kepercayaannya yang baru itu tanpa menentang Islam, memburuk-burukkan Islam, maka itu buat apa dibunuh?
Kemudian sebagai kerajaan yang adil, sebelum menghukum, mestilah diperiksa. Adalah satu tanggungjawab bagi kerajaan Islam yang sebenar, untuk reflect semula, mengapa sampai ada ummat Islam yang murtad di bawah pemerintahannya? Apa yang telah kerajaan abaikan, sehingga dia memilih untuk murtad dan melakukan penentangan? Apakah kerajaan telah zalim kepadanya, mengabaikan haknya, atau kerajaan tidak benar-benar memahamkan mereka akan Islam? Apakah kerajaan telah menyalah gunakan hukum Islam untuk menafikan hak yang dia sepatutnya dapat?
Kesempitan hidup dan rapuh fahaman agama, adalah antara dua punca terbesar untuk murtad, selain kezaliman pemerintah terhadap mereka ini. Maka, ini semua diperiksa semula.
Begitulah yang sepatutnya dilakukan, sebelum dijatuhkan hukuman bunuh. Begitu cantiknya Islam.
Maka, dengan kefahaman saya ini, saya tidak nampak salahnya ‘hukum bunuh’ untuk orang yang murtad.
Ramai orang pada saya, ‘melompat’ dari kerusi mereka dan menyatakan hukum ini kejam. Tetapi siapakah yang mendalaminya, membahaskannya dengan adil? Apakah hanya kerana ia datang daripada hadith, bukan dari Al-Quran, kita boleh sewenang-wenang mempertikaikannya? Bahkan, jelas hadith itu sohih. Jadi mengapa tidak kita persoalkan – bunuh itu bagaimana? Orang murtad yang macam mana sampai k2ena bunuh? –
Mengapa kita suka memilih untuk terus kepada – hukum ini bukan dari Islam. Hukum ini kejam. – dan sebagainya? Takkan Islam sekejam itu?

Tun yang saya kasihi, Saya tidak pasti siapa yang Tun maksudkan dengan menunjuk-nunjuk itu. Saya berlepas tangan daripada mereka. Saya juga tidak bersetuju kita ‘sekadar nampak hebat’ dengan mengangkat hukum-hukum yang keras. Saya sendiri tidak pernah berbangga dengan kerajaan yang mengamalkan hudud kepada rakyat, tetapi pemimpin-pemimpinnya terlepas dan tidak dipersoalkan. Saya sendiri tidak bersetuju, hudud dijalankan dengan rakus, tanpa kita sedarkan juga akan kepentingan dan keluasan taubat.
Saya sendiri tidak bersetuju kita mengangkat hukum hudud terlebih dahulu sebelum kita usaha ‘bersih’kan negara kita, sebelum kita berikan rakyat haknya, sebelum kita educate rakyat dengan Islam yang sebenar, sebelum kita mampu memberikan pandangan yang bersih terhadap Islam kepada rakan-rakan non muslim di negara kita.
Saya tidak pernah menafikan kewujudan ekstrimis. Saya tidak pernah menafikan, wujud pelbagai kesilapan dalam hendak mengamalkan Islam yang dilakukan oleh mereka yang berautoriti ustaz, ulama’. Tetapi ini tidak boleh membatalkan hukum itu. Yang salahnya, golongan ekstrimis itu, golongan yang berautoriti ustaz dan ulama’ yang silap dalam pengurusan hukum Islam.
Maka, golongan itulah yang perlu kita tentang. Kita persoalkanlah mereka. Mengkritik pengurusan, berlainan dengan mengkritik nas.
Satu contoh: Saya setuju kita mengkritik cara pengurusan Mahkamah Syari’ah yang hari ini jelas membebankan. Tetapi saya tidak sama sekali bersetuju kita mengkritik kewujudan Mahkamah berteraskan Syari’ah itu di dalam kerajaaan. Itu satu contoh.
Kritik pengurusan, kita boleh baiki dan tingkatkan pengurusannya. Tetapi kritik ‘perkara’nya, mahu pula perkara itu datang daripada Allah dan Rasulullah SAW, kita manusia yang biasa ini nak ‘baiki’ dan ‘tingkatkan’ macam mana perkara itu?
Contoh lain: Saya setuju kita kritik orang yang amal poligami. Tetapi saya tidak pernah bersetuju kita kritik ‘poligami’ itu sendiri hingga ingin mengharamkan poligami. Kita boleh betulkan orang yang silap dalam pengamalan poligami, hingga kelihatan seperti poligami ini satu kezaliman kepada wanita. Tetapi kalau nak kritik ‘poligami’ itu sendiri, apakah kita nak ‘cancel’kan apa yang Allah nyatakan boleh?
Kelonggaran di dalam Islam juga berprinsip Tun. Contoh, di dalam kapal terbang, Islam bagi kelonggaran untuk solat duduk jika tiada tempat nak solat. Boleh tayammum, sebab mustahil tandas yang sedikit mampu menampung ramai penumpang yang nak solat. Apatah lagi, tandas di dalam kapal terbang perlu digunakan untuk kegunaan yang lebih penting seperti membasuh najis. Jadi Islam benarkan solat duduk, dan tayammum.
Tetapi Islam tidak benarkan kita tinggal solat.
Begitu rupa ‘kelonggaran’ di dalam Islam.
Longgarnya berprinsip, bukan buat ikut apa akal kita rasa semata-mata.
Jadi, saya setuju kita boleh lambatkan perlaksanaan hukum hudud. Kita memang perlu lambatkannya, kerana jelas keadaan hari ini tidak membenarkan. Maka kita perlu perbaiki keadaan hari ini, sebagaimana yang telah saya jelaskan.
Namun ini tidak bermakna, hukum hudud itu tertolak dan terbatal.
Tetap satu hari nanti, kita perlu laksanakan hukum potong tangan kepada pencuri.

———————————————-


35. Ya. Saya bukan ulama. Saya tidak fasih dalam Bahasa Arab. Saya tidak terlatih seperti orang yang tidak senang dengan penjelasan saya, terlatih dan berijazah. Tetapi sebagai seorang orang Islam yang sedih dan perihatin terhadap nasib yang menimpa orang Islam saya berhak mencuba mengenalpasti sebab-sebab malapetaka menimpa kita. 

36. Al-Quran juga berkata Allah SWT tidak akan mengubah nasib buruk kita sehingga kita berusaha mengubah nasib kita sendiri. Mengenalpasti sebab-sebab nasib kita menjadi buruk adalah usaha awalan untuk memperbaikinya.

————————————————
Tun yang saya kasihi kerana Allah SWT,

Saya pun bukan ulama’. Tidaklah pula saya ini pandai bahasa arab sampai fasih macam orang arab sendiri. Saya menjawab yang tempoh hari, dan menjawab kali ini pun, dengan membuka semula kitab-kitab, dan membuat beberapa kajian semula, juga bertanya kepada beberapa orang guru saya di University of Yarmouk, di samping saya diskusikan dan saring terlebih dahulu dengan rakan-rakan.
Nyatanya, saya tidak semberono, sendirian berbicara akan perkara yang jelas saya pun belum habis belajar akannya. Bahkan, saya ambil peluang lontaran persoalan-persoalan Tun ini untuk mengasah dan menambah lagi ilmu saya.
Ya, saya akui memang ada orang yang tidak senang dengan Tun. Tetapi pun saya rasa Tun, bila ada orang tidak senang dengan kita, kita boleh ambil itu sebagai peluang untuk lakukan penjelasan, atau muhasabah diri tengok apa yang kita buat sampai orang tidak senang dengan kita.
Alhamdulillah, saya sangat hormati Tun apabila Tun menyatakan keprihatinan Tun terhadap kondisi Ummat Islam. Maka sepatutnya kita perlu bermula dengan ‘islah’ diri kita terlebih dahulu Tun.
Saya nampak, malapetaka yang menimpa kita ini memang jelas adalah salah kita yang meninggalkan didikan dan cara hidup Islam. Kita perlu berusaha mengubah keadaan ini. Barisan kepimpinan itu sendiri perlu sedar bahawa mereka adalah role model, duta Islam yang terbesar. Para ulama’ memang patut menjadi terbuka dan memberikan pandangan yang seimbang dengan realiti. Utamakan apa yang patut diutamakan, bukannya membesarkan perkara yang jauh lagi dari capaian.
Masing-masing perlu bermuhasabah dan melakukan perubahan.
Kita sebenarnya telah ditimpa oleh luka-luka lama, yang bertahun menemani kita. Luka semalam belum sembuh, kita tambah dengan luka baru hari ini.

Kefahaman Islam itu perlu diperkukuhkan, pemimpin perlu adil, jujur dan amanah dalam mengangkat Islam, ulama’-ulama’ perlu sederhana dan tidak ekstrim, menunjukkan keluasan dan kesederhanaan Islam, menunjukkan keindahan dan kecantikan Islam. Barulah rakyat akan terkesan, tertarik, lantas mencontohi dan mengikuti perkara ini.
————————————————


37. Insyaallah, Tuhan tidak akan menghampa usaha dan harapan kita.
————————————————
InsyaAllah, amiin. Allah memang tidak pernah mengecewakan hamba-hambaNya.
Sebagai kesimpulan akhir, saya masih bertegas dengan jawapan saya tempoh hari. Saya tambah lagi dengan beberapa penjelasan kali ini.
Saya nampak Tun, ini sekadar salah faham. Saya tidak pasti Tun bertemu dengan ulama’ yang bagaimana, hingga Tun berpandangan seakan-akan ‘hukum hudud’ ini adalah ‘persembahan tunjuk kuat’ atau seakan-akan satu ‘masochism’(mendera diri sendiri untuk kepuasan). Cuma pada pandangan saya yang do’if ini, suka saya tegaskan di sini bahawa, perkara ini bukanlah seperti yang Tun sangkakan.
Hukum ini adil. Saya tidak nampak di mana flawnya. Dan ini saya hitung dengan logik akal saya juga. Saya bukan jenis menerima membuta tuli. Saya melihat bila kerajaan dah berikan kefahaman Islam yang sebenar, bila pemimpin pun sudah adil, harta rakyat tidak diambil bahkan hak-hak diberikan sepenuhnya, pemimpin pun tak boros bahkan sederhana, menyebabkan ‘sebab untuk melakukan keingkaran melebihi had maksimum yang diberikan’ tiada, maka memang patut pun dilaksanakan hudud yang keras itu.
Dan jelasnya, hukum hudud ini pun, nak dilaksanakan bukan dengan sambil lewa. Ketat. Jadi, banyaknya, tidak sampai pun kepada potong tangan dan sebagainya. Ini hukum hudud yang sebenarnya.
Saya nampak, kita selama ini sering melihat hudud itu dari paparan orang lain yang mungkin ada agenda politiknya. Dari negara lain yang amalkan hudud, tetapi bukan secara adil. Jatuh kepada rakyat marhein semata-mata. Amalkan pula, tidak mengikut cara yang ditetapkan Islam.
Manakala saya, sebagai pelajar agama, saya melihat perkara ini dari usulnya, dari asasnya. Saya tiada apa-apa kepentingan politik, Tun.  Saya tulis ini, mewakili jiwa saya sendiri yang rasa Tun silap di dalam isu ini. Saya tidak mewakili mana-mana kumpulan dan parti. Saya juga tidak menjadikan cara perlaksanaan hukum hudud di Saudi, di Afghanistan, di Acheh sebagai kiblat saya. Saya menyatakan perkara ini dari apa yang saya belajar, dan apa yang saya faham terhadap Islam secara menyeluruh, bukan pada isu hudud semata-mata.
Satu perkara yang kita kena terima di dalam isu ini adalah, perkara ini besar dan luas. Banyak perbahasan. Banyak kajian. Banyak saringan. Sebab itu saya sebut dengan detail termasuk nama-nama ilmunya dan kitab-kitabnya. Maka janganlah apabila kita tidak mendalami perkara ini, dengan hanya melihat nasnya, dengan hanya melihat teksnya, kita interprestasi begitu sahaja mengikut minda kita. Pada saya, jelas ini tidak patut.
Itulah respon saya kepada Jawapan Tun. Saya minta maaf atas kekurangan saya. Sebenarnya, saya sedar saya bukanlah orang yang sepatutnya Tun tanya. Macam yang saya cadangkan tempoh hari, lebih baik Tun tulis soalan-soalan ini di dalam bahasa inggeris, biar semua ulama’ yang lebih berautoriti, lebih dipercayai, boleh perbahaskannya.
Saya sebenarnya jelas tidak berhajat nak membincangkan ‘bagaimana hukum hudud perlu dijalankan’. Saya hanya mahu kata pada Tun tempoh hari, “Hukum hudud bukan rekaan ahli fiqah”. Itu sahaja. Ahli fiqah tak mereka-reka perkara ni Tun. Mereka ada asas. Ada pengkajian. Maka adalah beradab, bagi kita, kalau nak batalkan, atau nak kata hukum ini rekaan, maka kita bangkitkan dengan pengkajian yang detail.
Kalau pun Tun tidak bersetuju dengan hukum rejam dan bunuh untuk murtad, tetap tidak membatalkan hukum potong tangan yang Tun pun percaya. Tetap tidak membatalkan hukum sebatan bagi mereka yang memfitnah orang lain berzina(Qazaf) dan bagi mereka yang berzina. Dan sebagainya yang jelas termaktub di dalam Al-Quran. Saya tiada masalah untuk Tun tidak bersetuju dengan perkara-perkara khilaf dan yang masih boleh diperbahaskan. Yang saya nak tegakkan adalah, hukum hudud bukan rekaan ulama’ fiqah. Ulama’ terdahulu berijtihad dengan asas. Bukan dengan hawa nafsu mereka. Saya hanya hendak buktikan itu sahaja sebenarnya. Kerana itu saya menjawab soalan tempoh hari dengan panjang lebar bersama rujukan. Saya nyatakan sekali nama guru-guru saya adalah kerana saya sedar saya masih belajar. Kalau ada kesilapan dalam penyampaian saya, dalam pendalilan saya, maka bolehlah pergi cari guru-guru saya untuk dapatkan penjelasan yang sebenarnya. Tiadalah saya berkata ini semua dengan suka-suka sahaja.
InsyaAllah, masyarakat boleh menilai diskusi kita berdua ini. Saya yakin. Inilah yang terbaik yang saya mampu berikan.
Sekian daripada saya, yang nyata jauh lebih muda daripada Tun, pangkat cucunda. Saya mohon maaf segala kekurangan, dan kalau ada terkasar bahasa.
Sampaikan salam saya kepada nenda Tun Siti Hasmah. Semoga Tun dan Tun Siti berada di dalam penjagaan Allah SWT sentiasa, bahagia hingga ke akhirnya.
Semoga Allah menumpahkan cahaya petunjukNya di dalam respon saya ini, dan memberikan manfaatnya bukan kepada Tun dan saya semata-mata, tetapi kepada masyarakat yang sama-sama membacanya.
Selepas ini, sekiranya Tun hendak melontarkan apa-apa, saya memilih untuk tidak lagi membalas. Saya rasa dengan jawapan saya tempoh hari, termasuk respon saya kepada Tun kali ini, sudah memadai. Selepas ini, sekiranya Tun kekal dengan pendirian Tun, maka itu adalah kebebasan pilihan Tun. Saya kekal dengan pendirian saya, berdasarkan rujukan-rujukan yang saya telah persembahkan. Melainkan sekiranya didatangkan kepada saya bukti-bukti yang kukuh untuk membatalkan rujukan-rujukan saya. Saya sentiasa terbuka kepada ‘saya mungkin salah’. Dan saya sentiasa faham bahawa saya masih belajar.
Sepatutnya perkara ini tidak ditumpahkan kepada saya. Saya lebih senang sekiranya hal ini diajukan kepada ulama’-ulama’ besar yang lebih layak. Nyata, saya masih belajar.
Sekali lagi saya meminta maaf. Siapalah saya sebenarnya untuk berbahas akan hal ini.

Sekian.
~ seorang hamba,
HilalAsyraf

sumber: Blog Hilal Asyraf http://langitilahi.com/8025

~Syabas buat saudara Hilal dengan penjelasan yang telus dan berkesan itu..sedikit sebanyak terungkai kekeliruan. 
terasa ceteknya ilmu bila membaca soal jawab mereka. Alhamdulillah, aku masih lagi berkesempatan menerima sedikit ilmu yang besar ini.
 
~ ‘tiadalah pemikiran akan timbul sendiri tanpa bantuan. Dan tiadalah pemikiran akan menghala kepada arah yang betul sekiranya tidak mendapat panduan..’

~ 'He maybe a somebody someday because he has that something and some Think.'

 

No comments: